GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Nurul Hidayah Bahaudin


Kajang: Polis menahan empat lelaki yang dipercayai terbabit dalam kegiatan pecah rumah dalam tiga serbuan berasingan di Sungai Chua, Sabtu lalu.

Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, pihaknya mengesan suspek utama yang juga ketua kumpulan geng pecah rumah sedang memandu kereta di Sungai Chua, di sini pada 8.30 malam.

"Tindakan pantas anggota bertugas berjaya menahan suspek berkenaan di persimpangan lampu isyarat di lokasi terbabit.

"Susulan itu, kami menahan tiga lagi suspek yang juga ahli kumpulan geng pecah rumah berkenaan di dua lokasi berasingan di Sungai Chua, hari sama," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohd Zaid berkata, pemeriksaan terhadap empat suspek berusia antara 35 hingga 53 tahun itu menemui beberapa barangan dipercayai hasil kegiatan pecah rumah termasuk tujuh telefon bimbit, satu gelang tangan emas, tujuh kad ATM dan wang tunai berjumlah RM1,172.

"Hasil soal siasat dilakukan mendapati suspek ada menyimpan barang hasil pecah rumah di sebuah rumah yang juga kediaman salah seorang suspek di Sungai Chua.

"Pemeriksaan di rumah berkenaan menemui beberapa barangan iaitu wang tunai berjumlah RM5,000, satu gelang dan satu resit pembelian di sebuah kedai emas," katanya.

Beliau berkata, semakan mendapati suspek mempunyai rekod berkaitan dadah, pecah rumah dan curi kenderaan.

"Semua suspek terbabit direman sehingga esok bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kegiatan jenayah di daerah ini boleh disalurkan kepada pihak polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang untuk tindakan lanjut," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 January 2021 @ 6:39 PM