Nurul Fatihah Sulaini


Jertih: Lumrah bagi seorang wanita hamil mempunyai fasa mengidam sehingga sanggup melakukan apa saja untuk memastikan hajat tercapai.

Wan Nor Susy Susanthi Wan Abdul Nasir, 35, berkata, pengalaman mengandung anak ketiganya, Nur Amanda Sufi Mohd Amirul, 1, berbeza dengan dua anak lain.

"Jika orang lain mungkin mengidam makanan tertentu tetapi saya mengidam untuk memiliki rumah berkonsepkan 'pink farm house'.

"Pernah satu masa saya sanggup membeli periuk nasi baru untuk memujuk kawan pejabat bertukar dengan periuk nasi lama miliknya yang berwarna merah jambu," katanya.

Katanya, dia bertuah kerana mendapat sokongan penuh daripada suami, Mohd Amirul Md Ghani, 36, serta dua anaknya, Muhammad Amiruddin, 8, dan Muhammad Aamir Rizqi, 5.

Dia berkata, walaupun sibuk dengan tugas seharian sebagai penjawat awam namun tidak menghalangnya untuk merealisasikan dekorasi rumah impiannya.

"Kebiasaannya bagi orang lain mungkin akan keluar bercuti pada hujung minggu bersama keluarga tetapi saya lebih suka duduk di rumah.

"Aktiviti menghias rumah, mengemas serta mencantikkan rumah seolah-olah sebagai terapi yang mampu menghilangkan tekanan.

"Saya suka melihat koleksi barang dapur terutamanya berwarna merah jambu tersusun kemas serta sentiasa rapi," katanya.

ANTARA koleksi barangan merah jambu yang menjadi kesayangan Susy. FOTO Nurul Fatihah Sulaini
ANTARA koleksi barangan merah jambu yang menjadi kesayangan Susy. FOTO Nurul Fatihah Sulaini

Susy berkata, pemilihan dekorasi berkonsepkan 'pink farm house' dipilih kerana jarang dijumpai selalunya konsep 'farm house' menggunakan kombinasi warna hitam dan putih saja.

"Jika diikutkan warna merah jambu memang warna kegemaran sejak kecil tetapi bila digabungkan merah jambu serta putih nampak lebih ceria.

"Konsep 'farm house' atau rumah ladang ini juga lebih kepada membuat label pada barang hiasan supaya kelihatan lebih kemas tersusun," katanya.

Dia berkata, bagi mendapatkan idea menghias rumah dia turut menjadikan laman sosial sebagai sumber rujukan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 Mei 2022 @ 1:05 PM
SUSY bersama sebahagian koleksi barangan merah jambu yang menjadi kesayangannya di rumahnya di Kampung Raja, Besut. FOTO Nurul Fatihah Sulaini
SUSY bersama sebahagian koleksi barangan merah jambu yang menjadi kesayangannya di rumahnya di Kampung Raja, Besut. FOTO Nurul Fatihah Sulaini