Nor 'Asyikin Mat Hayin


MENGGEMARI warna natural mendorong suri rumah ini memilih konsep 'farm house' atau rumah ladang untuk menata hias kediamannya di Jenjarom, Banting, Selangor.

Menariknya, rumah kampung berkeluasan 1,150 kaki persegi miliknya itu, mendapat sentuhan menggunakan kaedah lakukan sendiri (DIY) sepenuhnya daripada Nur Sarah Daviana Abdullah, 42.

Pemilihan warna putih, hitam, kelabu dan coklat menjadikan kediaman Nur Sarah Daviana tampil menarik, kemas dan elegan.

Nur Sarah Daviana berkata, rumahnya banyak menggunakan warna putih bukan sahaja pada dinding tetapi juga perabot, jubin dinding tandas, pantri dan kabinet dapur bagi menonjolkan lagi ciri - ciri rumah ala Inggeris.

Menurutnya, kelebihan warna putih ialah memantulkan cahaya, memberi kesan lebih terang dan meluaskan ruang rumah.

"Manakala warna hitam, kelabu dan coklat adalah untuk menambah keserian ruang di dalam rumah.

"Saya memilih konsep 'farm house' kerana dekorasi rumah boleh dilakukan secara DIY.

"Malah saya banyak mencari ilham menata hias rumah daripada internet dan media sosial," katanya.

Ibu kepada empat cahaya mata itu berkata, dia tidak mengeluarkan belanja yang besar untuk merealisasikan hiasan dalaman rumah idamannya.

"Ini kerana saya banyak membeli barangan dekorasi rumah di platform pembelian dalam talian, kedai serbaneka dan kitar semula barangan lama yang diberikan nafas baharu.

KERUSI rotan dipadankan dengan meja konsol.
KERUSI rotan dipadankan dengan meja konsol.

"Contohnya, saya hanya mengeluarkan belanja RM40 membeli barang untuk menghias ruang tamu.

"Kemudian barangan ini saya tambah baik semula untuk menjadikannya kelihatan mahal," katanya.

Nur Sarah Daviana berkata, kerja-kerja DIY dilakukan secara berperingkat bermula tahun 2021 ketika mula mendiami rumah berkenaan.

"Ruang di rumah ini terbahagi kepada beberapa bahagian iaitu ruang tamu, 'hallway', bilik, dapur, pantri, tempat dobi dan tempat permainan anak-anak.

"Semua bahagian ruang ini saya dekorasi untuk 'menghidupkan' suasana selesa dan tenang," katanya.

Katanya lagi, mungkin orang melihat dekorasi rumah ini sudah lengkap, tetapi masih ada ruang yang perlu diberikan lagi sentuhan tambahan iaitu ruang tamu, bilik anak dan bahagian luar rumah.

"Oleh kerana dekorasi rumah dilakukan secara DIY, ada cabaran yang terpaksa saya hadapi iaitu kelengkapan peralatan terhad.

DIY tempat permainan anak-anak.
DIY tempat permainan anak-anak.

"Saya tidak mempunyai mesin pemotong kayu dan mesin melicinkan permukaan kasar kayu. Kerja-kerja yang memerlukan peralatan ini dilakukan secara manual.

"Malah saya juga mengambil masa dua minggu untuk membuat kabinet dapur disebabkan kekurangan peralatan dan menggunakan gergaji bagi memotong kayu," katanya.

Menurutnya, meskipun suami tidak membantu DIY kerana sibuk bekerja, tetapi dia sentiasa memberikan sokongan dan pandangan sekiranya diminta.

"Anak-anak pula sangat memahami hobi saya gemar menata hias rumah dan anak sulung juga sudah mula menunjukkan minat yang sama.

"Sekiranya ada masa terluang, saya akan mengubah susun atur barangan perhiasan kecil, buku dan pasu bunga untuk mewujudkan persekitaran baharu.

"Ini dapat menghilangkan kebosanan dan menaikkan mood lebih baik," katanya.

Jelasnya, dia menitik beratkan rumah yang kemas, bersih dan cantik kerana elemen itu perlu untuk mewujudkan 'rumahku, syurgaku' buat keluarga.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 Julai 2023 @ 7:00 AM