RUANG makan keluarga yang selesa dengan dekorasi putih dan merah jambu.
RUANG makan keluarga yang selesa dengan dekorasi putih dan merah jambu.
Fairul Asmaini Mohd Pilus


JIKA ditanya kepada golongan muda apa tema dekorasi pilihan, pasti konsep minimalis yang menjadi sebutan.

Konsep minimalis amnya adalah dekorasi ringkas dan tersusun serta tidak memerlukan perabot atau perincian yang banyak.

Biasanya, dekorasi konsep itu menggunakan gabungan rona neutral seperti putih atau hitam namun ada yang suka bereksperimen sendiri menggabungkan rona kegemaran mereka.

Bagi bekas jurutera, Norashida Yusri, 33, dia turut memilih konsep moden minimalis yang diserikan lagi dengan kombinasi rona putih serta perhiasan warna pastel dan merah jambu untuk kediaman keluarga.

Ibu kepada seorang anak perempuan itu berkata, kombinasi menjadi pilihan kerana warna berkenaan bukan sahaja mendamaikan malah sedap mata memandang.

"Warna latar bagi kediaman ini adalah putih dan untuk disuai padan dengan konsep minimalis, perabot seperti sofa, rak televisyen serta meja kopi di ruang tamu adalah dari rona pastel.

KONSEP moden minimalis dipraktikkan di ruang tamu kediaman.
KONSEP moden minimalis dipraktikkan di ruang tamu kediaman.

"Begitu juga dengan bilik tidur utama kerana baik saya mahupun suami, masing-masing suka rumah yang kemas, tenang dan mendamaikan," katanya.

Menurut Norashida lagi, disebabkan dapur adalah 'ruang pejabatnya dan tempat mencari ilham,' dia memilih banyak peralatan serta hiasan daripada rona merah jambu.

Sekali gus menepati minatnya yang menggemari warna lembut itu sejak dari dahulu.

"Sofa kecil merah jambu itu misalnya dibeli kerana tertarik dengan kelembutan warnanya dan ia diletakkan berhampiran dapur untuk membolehkan saya berehat selepas memasak.

"Selain itu, dekorasi bilik tidur anak, langsir di ruang makan, permaidani serta peralatan memasak lain juga berwarna merah jambu.

ANTARA hiasan rumah yang menjadi buruan penggemar rona merah jambu.
ANTARA hiasan rumah yang menjadi buruan penggemar rona merah jambu.

"Kombinasi konsep dan rona berkenaan sememangnya menenangkan kami sekeluarga," katanya.

Sementara itu, kreativiti dan cita rasa tersendiri Norashida dalam menata hias kediaman turut menjadikannya tempat rujukan untuk keluarga, rakan (termasuk di media sosial) serta jiran terdekat.

Kata Norashida, mereka tertarik kepada peralatan dapur rona merah jambu yang digunakan hingga sanggup mengupahnya sebagai pembeli peribadi.

NORASHIDA sekeluarga.
NORASHIDA sekeluarga.

"Melihat kepada permintaan yang diterima, saya membuka laman khas di Facebook, Hidup Merah Jambu untuk membolehkan peminat peralatan dan hiasan rumah merah jambu mendapatkan barangan idaman mereka.

"Meskipun baharu diwujudkan Julai lalu, sambutan yang diterima begitu menggalakkan dan mendapat pelanggan dari seluruh negara serta negara jiran seperti Singapura dan Indonesia.

SOFA merah jambu menyerikan lagi ruang dapur.
SOFA merah jambu menyerikan lagi ruang dapur.

"Bermula sekadar minat dan hobi, ia kini memberi pendapatan sampingan, saya gembira dapat membantu golongan yang menggemari rona merah jambu mendapatkan barangan impian mereka," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 Mac 2021 @ 7:00 AM