MEJAR Nor Amirul Asraf Abdul Rauff bersama isteri, Nor Razimah Mat Ramli dan anak mereka, Nur Aryana Raisya, melihat model rumah ketika Majlis Pelancaran Blueprint Perumahan 3.0 Kementerian Pertahanan. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
MEJAR Nor Amirul Asraf Abdul Rauff bersama isteri, Nor Razimah Mat Ramli dan anak mereka, Nur Aryana Raisya, melihat model rumah ketika Majlis Pelancaran Blueprint Perumahan 3.0 Kementerian Pertahanan. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
Ekhwan Haque Fazlul Haque


Kuala Lumpur: Menerusi Blueprint Perumahan 3.0, sebanyak 12,733 unit Rumah Keluarga Malaysia Angkatan Tentera (RKMAT) baharu bakal dibina bermula 2023 hingga 2030.

Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, isu perumahan sentiasa menjadi keutamaan Kementerian Pertahanan dan AngkatanTentera Malaysia (ATM) bagi menambah baik kehidupan anggota dan veteran ATM.

Menurutnya, bagi mengekalkan moral dan semangat dalam kalangan warga ATM, ia tidak hanya berkisar kepada aset canggih, strategi pertahanan ampuh, kekuatan seunit dan sepasukan tetapi berkait rapat dengan keperluan anggota serta ahli keluarga dalam kehidupan seharian.

"Sejak saya kembali menerajui Kementerian Pertahanan, fokus dan tumpuan terhadap usaha berkaitan Covid-19 diberi fokus namun soal kebajikan warga ATM tidak dikesampingkan.

"Saya bersama kepimpinan tertinggi Kementerian Pertahanan dan ATM mencadangkan agar Blueprint Perumahan 3.0 diwujudkan sekali gus melancarkan Blueprint Perumahan 1.0 pada 2017 dan Blueprint Perumahan 2.0 juga diperkenalkan pada 2019," katanya.

Beliau berkata demikian dalam Majlis Pra Pelancaran Blueprint Perumahan 3.0 Kementerian Pertahanan dan Majlis menandatangani perjanjian jual beli perumahan Program Satu Anggota Satu Rumah (SASaR) di Sungai Besi, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz dan pengurusan tertinggi Kementerian Pertahanan dan ATM.

Tambahnya, lebih banyak RKMAT juga akan dinaik taraf daripada dua rumah menjadi satu rumah sehingga 2030.

"Menerusi Blueprint Perumahan 3.0 ini juga, sebanyak 974 unit SASaR akan dibina secara berperingkat di Kem Wardieburn manakala 6,400 unit lagi akan dibina secara berperingkat di Genting Klang sehingga 2027 hingga 2033," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, Blueprint Kebajikan Pendidikan Anak ATM yang merangkumi pelan lima tahun bermula tahun ini hingga 2026 turut sedang digubal Kementerian Pertahanan.

Menurutnya, ia bakal dilaksanakan melalui empat strategi merangkumi pembangunan infrastruktur 38 sekolah ATM, memperkasa kebajikan anak ATM melalui pemberian bantuan pendidikan dan biasiswa, memperkasa institusi pendidikan ATM serta kolaborasi pintar bersama agensi kerajaan dan swasta dalam aspek pendidikan.

"Di bawah aspek kesihatan pula, sebanyak lima poliklinik baru dibina bagi menggantikan Rumah Sakit Angkatan Tentera (RSAT) sedia ada selain penaiktarafan Hospital Angkatan Tentera," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan kebocoran data, Hishammuddin berkata, Kementerian Pertahanan sentiasa peka terhadap perkembangan terkini.

Katanya, sebagai Menteri Kanan Pertahanan, beliau sentiasa berhubung rapat dengan agensi perisikan untuk memastikan kedaulatan negara terus menjadi keutamaan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 Mei 2022 @ 5:12 PM