Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Tabung persaraan diuruskan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) akan dijamin sepenuhnya kerajaan.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, beliau sudah membentangkan cadangan dasar pindaan Akta Tabung Angkatan Tentera di Mesyuarat Kabinet minggu lalu dan Kabinet memberi kelulusan secara prinsip.

"Langkah seterusnya, ia akan dibawa ke Parlimen untuk dipinda pada tahun ini. Saya akan beri perhatian penuh kepada cadangan pindaan ini sehingga ia lulus dan dilaksanakan. Ini jaminan saya.

"Insya-Allah, apabila pindaan ini dilaksanakan, ia bukan sahaja akan memelihara tabung persaraan saudara dan saudari, tetapi akan membolehkan LTAT terus memacu agenda transformasi mereka.

"Kepada kepemimpinan LTAT yang ada di sini, teruskan usaha ini supaya pelaburan yang dilaksanakan LTAT," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Amanat Tahun Baharu 2022 Menteri Kanan Pertahanan di Wisma Perwira, di sini, hari ini.

Sementara itu, Hishammuddin berkata, kementeriannya akan melaksanakan Blueprint Perumahan 3.0 Mindef yang akan dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam masa terdekat.

"Di bawah Blueprint Perumahan 3.0, sebanyak 12,000 unit RKMAT baru bakal dibina dalam tempoh Rancangan Malaysia ke-12 dan ke-13.

"Bagi 2022 sahaja, dijangka tujuh projek pembinaan RKMAT akan siap pada 2022 meliputi 6 negeri iaitu Kedah (RKMAT Tok Jalai), Perlis (RKMAT Kem Oran), Kelantan (RKMAT Kem Tumbi), Johor (RKMAT Segamat), Sarawak (membabitkan dua kem iaitu RKMAT Pakit dan RKMAT Miri) dan Pahang (RKMAT Kem Bera)," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 January 2022 @ 3:05 PM
Hishammuddin berucap ketika majlis Amanat Tahun Baharu Menteri Kanan Pertahanan 2022 di Dewan Perkasa, Wisma Perwira ATM, Kuala Lumpur. FOTO HAIRUL ANUAR RAHIM
Hishammuddin berucap ketika majlis Amanat Tahun Baharu Menteri Kanan Pertahanan 2022 di Dewan Perkasa, Wisma Perwira ATM, Kuala Lumpur. FOTO HAIRUL ANUAR RAHIM