GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Ruwaida Md Zain


Shah Alam: Kerajaan Negeri bersetuju melaksanakan semula Insentif Haji Muassasah Selangor 2022 bagi tahun kelima tahun ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, inisiatif yang tertangguh selama dua tahun akibat pandemik Covid-19 itu akan memanfaatkan 3,000 bakal jemaah haji dengan peruntukan sebanyak RM1.5 juta.

"Setiap individu berkenaan akan menerima wang tunai sumbangan kerajaan negeri sebanyak RM500 berserta kit cenderamata mengandungi beg, penyahkuman tangan, losyen, pelembap bibir, tuala muka serta tisu basah.

"Urusan permohonan insentif ini akan dijalankan selama tiga bulan seawal Isnin, 23 Mei sehingga Rabu, 31 Ogos melalui Pusat Khidmat Ahli Dewan Negeri (ADUN) dan Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) seluruh Selangor.

"Bakal jemaah haji yang berminat hanya perlu membawa kad pengenalan serta salinan surat tawaran mengerjakan haji muassasah yang lengkap dengan maklumat penerbangan sewaktu membuat permohonan," katanya dalam satu kenyataan.

Amirudin berkata, inisiatif berkenaan adalah satu lagi usaha kerajaan negeri yang diurus oleh Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) sebagai sebahagian Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) anjuran MBI.

"Semoga inisiatif ini sedikit sebanyak meringankan beban serta mempermudah urusan bakal tetamu-tetamu Allah yang terpilih," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 Mei 2022 @ 8:26 AM