GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
Sri Ayu Kartika Amri dan Nisaa Iryanie Azhar

Kuala Lumpur: Tabung Haji dijangka akan membelanjakan kos Bantuan Kewangan Haji berjumlah lebih RM400 juta bagi menampung sebahagian daripada kos menunaikan ibadat haji tahun ini, meskipun terdapat peningkatan kos menunaikan haji.

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Datuk Seri Amrin Awaluddin berkata, kos menunaikan haji bagi seorang jemaah Muassasah meningkat kepada RM30,850 tahun ini (1444H/2023) berbanding RM28,632 sebelumnya.

Katanya, kos haji bagi seorang jemaah Muassasah dianggarkan meningkat kepada RM30,850 pada tahun ini berbanding RM28,632 pada tahun lalu.

"Bantuan Kewangan Haji hanya diberi kepada jemaah Muassasah yang terpilih dan menunaikan haji buat pertama kali secara bersasar kepada kumpulan B40 dan kumpulan M40 saja.

"Bagi jemaah Muassasah dalam kumpulan T20 iaitu mereka dengan pendapatan melebihi RM15,000 sebulan akan dikenakan bayaran penuh kos menunaikan Haji iaitu RM30,850 seorang.

"Pada musim haji tahun ini, kadar bayaran untuk jemaah haji Muassasah dalam kumpulan B40 yang pertama kali menunaikan haji ditetapkan pada RM11,980 seorang, meningkat sebanyak RM1,000 berbanding tahun lalu.

"Walaupun ada peningkatan RM1,000 namun kerajaan akan menanggung kenaikan terbabit dan bakal haji kumpulan B40 hanya perlu membayar RM10,980 seorang, sama dengan kadar tahun lalu.

"Bagi seorang jemaah haji Muassasah yang pertama kali menunaikan haji dan dalam kumpulan M40, bayaran haji meningkat sebanyak RM3,000 kepada RM15,980 seorang, manakala bayaran penuh kos haji iaitu RM30,850 seorang ditetapkan bagi kumpulan T20," katanya pada sidang media pengumuman kos, bayaran dan bantuan kewangan haji 2023 di Menara TH, di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengarah Eksekutif Haji TH, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman.

Mereka yang merayu luar giliran untuk menunaikan haji secara Muassasah juga perlu membayar penuh kos haji sebanyak RM30,850 seorang, melainkan rayuan sebagai mahram kepada jemaah atau rayuan sebagai pembantu kepada jemaah lanjut usia yang terpilih menunaikan haji.

Walaupun terdapat kenaikan bayaran haji itu, kumpulan B40 akan menerima Bantuan Kewangan Haji (Hafis) sejumlah RM19,870 seorang atau 64 peratus daripada kos haji manakala kumpulan M40 akan menerima bantuan sejumlah RM14,870 seorang atau 48 peratus daripada kos haji.

Mulai 2001, jemaah haji Malaysia membayar sebahagian daripada kos untuk menunaikan haji manakala selebihnya ditanggung oleh TH melalui dana Bantuan Kewangan Haji yang dijana daripada hasil pendapatan pelaburan.

Amrin berkata, TH akan mengeluarkan Surat Tawaran Haji kepada 31,600 jemaah haji bagi 2023 bermula 22 Mac 2023 (Rabu) dan bakal jemaah perlu lulus pemeriksaan kesihatan sebelum menjawab surat tawaran terbabit dalam tempoh tujuh hari bekerja melalui aplikasi Thijari atau untuk kes tertentu boleh mengunjungi mana-mana cawangan TH berdekatan.

Bagi pemilihan jemaah haji, TH akan mengutamakan bakal haji giliran tunai haji pada 2020, diikuti dengan mereka yang giliran tunai haji pada 2021 dan seterusnya 2022 dan 2023.

Ini adalah berdasarkan sistem pendaftaran haji berasaskan prinsip yang dahulu didahulukan.

Rayuan haji melalui platform atas talian Thijari akan dibuka mulai 27 Mac 2023, dengan memberi keutamaan kepada rayuan mahram dan tahun ini pihak kerajaan Arab Saudi tidak lagi mengehadkan umur untuk tunai haji.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Mac 2023 @ 5:16 PM