Dataran Merdeka. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali.
Dataran Merdeka. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali.
Yusmizal Dolah Aling


Kuala Lumpur: Pelbagai juadah istimewa menanti pengunjung Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri di Dataran Merdeka yang akan diadakan pada 28 Mei ini.

Dianjurkan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi), Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan rakan strategik, "Aidilfitri@Dataran Merdeka' dijadualkan bermula jam 10 pagi sehingga 2 petang.

Pengarah Jawi Datuk Mohd Ajib Ismail berkata, ia akan menghimpunkan masjid dan surau Jumaat di Wilayah Persekutuan bagi menyediakan 120 gerai pelbagai menu dan juadah yang menyelerakan untuk dinikmati orang ramai.

"Uniknya gerai ini dikendalikan 120 masjid dan surau Jumaat di Wilayah Persekutuan dengan menu masing-masing seperti yang kita pernah adakan pada 2019.

"Saya berharap orang ramai tidak lepaskan peluang untuk berhari raya di Dataran Merdeka bersama-sama dengan jabatan yang terbabit," katanya.

Mohd Ajib berkata, majlis berkenaan dijangka dihadiri Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim bersama kenamaan yang lain.

Katanya, program yang dianjurkan pada 2019 menarik kehadiran 20,000 pengunjung pelbagai latar belakang dengan menu tarikan utama adalah kambing golek dan durian.

Ia turut tersenarai di dalam Malaysia Book of Records bagi Penganjuran Masjid Paling Banyak Dalam Acara Rumah Terbuka Hari Raya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 Mei 2022 @ 6:35 PM