PENUNGGANG motosikal melakukan aksi ‘superman’ mengundang padah apabila ditahan polis. FOTO Ihsan JSPT
PENUNGGANG motosikal melakukan aksi ‘superman’ mengundang padah apabila ditahan polis. FOTO Ihsan JSPT
Hafidzul Hilmi Mohd Noor

Kuala Lumpur: Tindakan lima penunggang motosikal melakukan aksi 'superman' mengundang padah apabila ditahan polis, semalam.

Semua mereka berusia 19 hingga 31 tahun itu ditahan dalam Ops Motosikal dan Ops Mabuk di Jalan Kuching, Jalan Genting Kelang, Jalan Raja Chulan, Jalan Duta Kiara dan Jalan Maarof.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Sarifudin Mohd Salleh berkata, selaian lima lelaki berkenaan, polis turut menahan dua lelaki yang membawa air ketum di Jalan Kuching.

"Dua lelaki yang berusia 20an dan 40an itu didapati membawa tiga botol air ketum yang diletakkan di bakul motosikal yang ditunggang mereka.

"Secara keseluruhan 252 saman dikeluarkan di atas pelbagai kesalahan dan 24 buah motosikal disita di bawah Seksyen 64 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 atas kesalahan mengubah suai struktur kenderaan (ekzos),"katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, 14 lelaki yang berusia dalam lingkungan 19 hingga 52 tahun ditahan mengikut Seksyen 45(A) APJ 1987 kerana memandu di bawah pengaruh alkohol.

"Operasi sama turut menahan seorang lelaki tempatan berusia 21 tahun turut ditahan mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan atas kesalahan mencuri motosikal.

"Hasil semakan, suspek mempunyai 3 rekod lampau berkenaan kes kecurian motosikal sejak dari tahun 2015," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Disember 2021 @ 1:14 PM