Nor Fazlina Abdul Rahim dan Hidayatidayu Razali


Bachok: Kementerian Pendidikan (KPM) dalam perancangan untuk mewujudkan platform aplikasi penyusunan jadual yang akan digunakan semua sekolah di seluruh negara.

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin, berkata kemudahan itu akan disediakan dalam masa terdekat.

Katanya, menerusi platform aplikasi berkenaan, ia akan memudahkan pihak sekolah terutama bagi menyediakan jadual anjal membabitkan tiga hingga empat subjek sehari.

"Sekarang ini kebanyakan sekolah membeli aplikasi untuk penyediaan jadual dari vendor tertentu dan hasil turun di lapangan juga mendapati pihak sekolah berdepan masalah untuk penyediaan jadual.

"KPM tetapkan untuk membangunkan satu aplikasi yang membolehkan sistem terbabit membuat penyusunan jadual berdasarkan maklumat yang diisi pihak sekolah dari segi bilangan guru dan kelas," katanya.

DATUK Dr Radzi Jidin menyampaikan ucapan perasmian sempena Pelancaran Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan kali ke-5 Tahun 2022. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
DATUK Dr Radzi Jidin menyampaikan ucapan perasmian sempena Pelancaran Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan kali ke-5 Tahun 2022. FOTO Nik Abdullah Nik Omar

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan Kali Ke-51 Tahun 2022 bertemakan Guru Tunjang Sekolah Sejahtera di Universiti Malaysia Kelantan (UMK) Kampus Bachok di sini, hari ini.

Pada masa sama, Radzi memaklumkan, pihaknya akan menyiapkan satu sistem berpusat bagi memudahkan guru mengakses segala maklumat yang diperlukan selain mengisi data guru dan murid.

"Jika sebelum ini, guru perlu melakukan dua kerja yang sama apabila perlu mengisi maklumat kepada Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN).

"Masalah ini membuatkan kebanyakan guru merungut disebabkan ketidakcekapan sistem yang dihadapi. Masalah itu akan dapat diselesaikan dengan adanya sistem berpusat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 Mei 2022 @ 1:27 PM