Nor Fazlina Abdul Rahim dan Hidayatidayu Razali

Bachok: Guru kini boleh membuat permohonan pertukaran sepanjang tahun susulan garis panduan baharu dikeluarkan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bagi menggantikan garis panduan sedia ada yang dikeluarkan pada 1975.

Permohonan pertukaran sekolah oleh guru juga kini tidak boleh dihalang guru besar atau pengetua yang sebelum ini mempunyai kuasa untuk memberi kelulusan.

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin berkata, pengumuman untuk pertukaran guru pula diubah kepada empat kali setahun iaitu pada Mac, Jun, September dan Disember berbanding hanya dua kali setahun sebelum ini.

"Jika dulu, pengumuman untuk pertukaran guru adalah dua kali setahun, tetapi sekarang kita umum empat kali setahun dan permohonan boleh dibuat sepanjang tahun. Ada keputusan yang akan keluar tetapi tidak semua dapat, kerana opsyen mata pelajaran itu sudah dipenuhi.

"Sebelum ini, permohonan pertukaran juga memerlukan kelulusan guru besar atau pengetua, tetapi kini guru atau pengetua hanya dibenarkan untuk memberi ulasan, tidak boleh menghalang pertukaran guru-guru.

"Justeru, perkara ini juga memberi peluang kepada semua guru, termasuk yang cemerlang untuk bergerak dari satu sekolah ke sekolah yang lain untuk menyumbang bakti," katanya.

RADZI menyampaikan Anugerah Tokoh Kepimpinan Pendidikan Kebangsaan Tahun 2022 kepada Datuk Dr Adi Badiozaman @Badio Zaman Tuah sempena Pelancaran Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan kali ke-5 di UMK Kampus Bachok. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
RADZI menyampaikan Anugerah Tokoh Kepimpinan Pendidikan Kebangsaan Tahun 2022 kepada Datuk Dr Adi Badiozaman @Badio Zaman Tuah sempena Pelancaran Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan kali ke-5 di UMK Kampus Bachok. FOTO Nik Abdullah Nik Omar

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan Kali Ke-51 Tahun 2022 bertemakan 'Guru Tunjang Sekolah Sejahtera' di Universiti Malaysia Kelantan (UMK) Kampus Bachok di sini, hari ini.

Hadir sama, Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Nor Zamani Abdol Hamid dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains dan Teknologi Kerajaan Negeri Kelantan, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan.

Radzi berkata, bagi tahun 2021, guru yang berjaya dalam pertukaran berjumlah 55 peratus daripada keseluruhan permohonan.

"Secara purata setiap tahun, jumlah permohonan pertukaran guru adalah melebihi 20,000 orang dan tahun lalu kita menerima sebanyak 23,000 permohonan.

"Permohonan pertukaran paling tinggi adalah untuk ke Kelantan dengan subjek Pendidikan Islam dan sedangkan guru subjek itu sudah penuh di Kelantan.

"Kapasiti guru di Kelantan juga adalah seramai 29,000 orang dan perlu menunggu kekosongan, misalnya guru pencen atau berhenti," katanya.

Radzi berkata, Kelantan juga kekurangan guru bagi subjek kritikal iaitu Bahasa Inggeris masing-masing lebih 400 orang guru bagi Sekolah Kebangsaan (SK) dan lebih 200 guru Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK).

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 Mei 2022 @ 1:32 PM