LAPORAN terdahulu Harian Metro
LAPORAN terdahulu Harian Metro
Samadi Ahmad


Putrajaya: "Setakat ini kami masih menunggu, jenazah anak masih belum dapat dituntut," kata Aidol Munir Akbar Abd Aziz.

Dia adalah bapa kepada Muhammad Nasrun, 22, yang terbunuh dalam nahas kemalangan di Kilometer 245.2 Lebuhraya Utara Selatan arah utara, dekat Kualang Kangsar, semalam.

Aidol Munir Akbar berkata, mayat anaknya dipindahkan dari Hospital Kuala Kangsar ke Hospital Taiping pada 9 pagi tadi bagi proses bedah siasat dan pengecaman.

Katanya, selain jenazah anaknya, dua lagi korban kemalangan itu, Iqbal Hasnun Halimi, 23, dan Muhammad Nabil Haikal Muhammad Fariz, 19, turut dipindahkan ke hospital sama.

"Setakat ini kami masih menunggu (pengesahan mayat) dan sekiranya dapat diselesaikan hari ini, jenazah ( Muhammad Nasrun) akan disembahyangkan di Masjid Universiti Sultan Azlan Shah (Usas) sebelum dibawa pulang dan dikebumikan di Kuala Kubu Baharu.

"Kami masih disediakan tempat tinggal di Kuala Kangsar termasuk makan minum bagi memudahkan urusan ketika di sini," katanya ketika dihubungi hari ini.

Malam tadi, jenazah Ahmad Akmal Ahmad Mokhlis, 20, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Hijau, Kampung Kedah, manakala jenazah Ahmad Naim Najmi Ahmad Hafizan, 21, dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kijal, Terengganu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 Mei 2022 @ 4:29 PM