GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Yusmizal Dolah Aling


Kuala Lumpur: Satu pertemuan akan diadakan bersama pesawah, pengilang serta mereka yang terbabit dalam industri padi dan beras esok bagi membincangkan isu harga jaminan padi serta masalah berkaitan industri itu.

Ketua Pengarah Pengawalan Padi dan Beras, Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (Mafi) Azman Mahmood berkata, surat makluman mengenainya sudah dikeluarkan dan pertemuan berkenaan penting bagi menyelesaikan isu berbangkit.

Menurutnya, sebelum ini Mafi menetapkan harga minimum jaminan padi sebanyak RM1,200, namun ada permintaan untuk dinaikkan kepada RM1,400 bagi satu tan metrik.

"Memang kita tetapkan harga itu, tetapi terpulang kepada pengilang untuk menetapkan harga lebih atau sebaliknya.

"Ia banyak bergantung kepada mutu padi yang dihasilkan, kalau elok, harga ditawarkan juga tinggi," katanya kepada Harian Metro.

Beliau mengulas mengenai desakan pesawah di Sekinchan Selangor semalam yang mahu jaminan harga padi dinaikkan daripada RM1,200 kepada RM1,400 bagi setiap satu tan metrik.

Katanya, isu jaminan harga ini diberi perhatian oleh Mafi dan antara langkah bagi memastikan pesawah menikmati hasil yang baik adalah melalui konsep Smart Sawah Berskala Besar (Smart SBB) bagi mengatasi kewujudan orang tengah.

Ia juga dapat memastikan tiada lagi sebarang bentuk manipulasi pasaran bagi industri itu yang melalui proses transformasi menerusi Smart SBB.

Semalam, kira-kira 100 pesawah dari berhimpun di Site B, Sekinchan dan menyertai demonstrasi aman berhubung penghasilan padi mereka.

Mereka berkumpul jam 11.30 pagi menuntut Mafi menaikkan harga jaminan padi dari RM1,200 kepada RM1,400 satu tan metrik, mengembalikan potongan padi basah 17 peratus dan menaikkan subsidi padi dari RM360 kepada RM500 satu tan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 Mei 2022 @ 3:08 PM