Amirul Aiman Hamsuddin


Sekinchan: Cuaca mendung tidak menghalang hampir 100 pesawah berhimpun dalam demonstrasi aman di Site B, di sini, hari ini.

Demonstrasi bermula kira-kira 11.30 pagi itu turut disertai pesawah dari Tanjong Karang dan Sabak Bernam serta Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sekinchan, Ng Suee Lim.

Mereka mengemukakan tiga tuntutan kepada Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) iaitu menaikkan harga jaminan padi dari RM 1,200 kepada RM 1,400; kembalikan potongan basah 17 peratus dan menaikkan subsidi padi dari RM 360 kepada RM 500.

Suee Lim berkata, pesawah melahirkan rasa tidak puas hati apabila harga padi turun daripada RM1,300 kepada RM1,280 satu tan metrik.

Beliau berkata, keadaan itu mengakibatkan golongan berkenaan tertekan kerana pendapatan mereka terjejas pada musim kali ini.

"Jika kerajaan bersedia melaksanakan gaji minimum RM 1,500, sudah tentu nasib dan taraf hidup pesawah juga perlu diberi perhatian serius.

"Pelaksanaan ini (gaji minimum) disambut baik, tetapi bagaimana dengan nasib pesawah yang berkorban demi negara lebih-lebih lagi pendapatan mereka secara purata hanya RM1,000 sebulan.

"Pendapatan yang diperoleh sudah tentu tidak mencukupi untuk menyara keluarga yang ketika ini berdepan kos sara hidup tinggi," katanya pada sidang media selepas demonstrasi itu, hari ini.

SERAMAI 100 pesawah menyertai demonstrasi aman bagi mengemukakan tiga tuntutan kepada Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) di Site B, hari ini. FOTO Amirul Aiman Hamsuddin
SERAMAI 100 pesawah menyertai demonstrasi aman bagi mengemukakan tiga tuntutan kepada Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) di Site B, hari ini. FOTO Amirul Aiman Hamsuddin

Hadir sama, Pengarah Kawal Selia Padi dan Beras Negeri Selangor, Mohammad Ashik Abdul Rahman.

Menurutnya, pesawah turut berdepan pemutuan padi yang tinggi hingga melebihi 28 peratus.

"Kerajaan harus mengurangkan pemotongan pemutuan padi kembali kepada 17 peratus dan bukannya 20, 25 atau 30 peratus ketika ini.

"Selain itu, subsidi padi juga perlu dinaikkan daripada RM360 tan metrik kepada RM500 tan metrik. Ini bagi membantu pesawah yang mengerah keringat dan membanting tulang dalam memastikan jaminan bekalan makanan negara mencukupi," katanya.

Ng berkata, beliau sudah menghantar surat kepada MAFI sejak dua hari lalu bagi memastikan ada penyelesaian berhubung perkara itu.

Dalam pada itu, seorang pesawah, Sabli Sobron, 60, berkata, peningkatan kos input pertanian membebankan mereka terutama dalam keadaan harga padi menurun dan pemotongan pemutuan tinggi.

"Berlaku pengurangan hasil pengeluaran pada tahun ini disebabkan peningkatan kos pertanian selain harga baja dan racun naik sekali atau dua kali ganda.

"Keadaan ini sekali gus merisaukan kami yang bergantung penuh kepada sumber pendapatan ini ," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 Mei 2022 @ 4:52 PM