DATUK Saifuddin Abdullah. FOTO arkib NSTP
DATUK Saifuddin Abdullah. FOTO arkib NSTP
BERNAMA

Kuala Lumpur: Menteri Luar Datuk Seri Saifuddin Abdullah mengulangi pendirian Malaysia bahawa Duta Khas Pengerusi ASEAN ke Myanmar perlu membabitkan semua pihak berkepentingan termasuk wakil Kerajaan Perpaduan Nasional (NUG) dan Majlis Perundingan Perpaduan Nasional (NUCC) Myanmar.

Beliau membuat gesaan itu pada Mesyuarat Tidak Rasmi Menteri Luar ASEAN pada Khamis di Washington D.C., menjelang Sidang Kemuncak ASEAN-Amerika Syarikat (AS) pada 12 dan 13 Mei.

Dalam catatan di laman Facebook rasminya pada Khamis, Saifuddin berkata beliau turut menyatakan sokongan padu Malaysia kepada Duta Khas, Prak Sokhonn yang juga Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Luar Kemboja, dalam memenuhi mandatnya mengenai Konsensus Lima Perkara (5PC).

5PC mengenai Myanmar diterima pakai pemimpin ASEAN pada Mesyuarat Pemimpin ASEAN di Jakarta pada 24 April tahun lalu, antaranya menghentikan serta-merta keganasan di Myanmar, dialog konstruktif antara semua pihak yang berkenaan, ASEAN akan memberikan bantuan kemanusiaan dan duta khas dan delegasi akan melawat Myanmar untuk bertemu semua pihak yang berkenaan.

Saifuddin turut menyuarakan kekesalannya terhadap tindakan Majlis Pentadbiran Negara (SAC) tentera Myanmar yang tidak membenarkan Duta Khas Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Myanmar, Dr Noeleen Heyzer, untuk mengambil bahagian dalam proses itu.

"Kita tidak seharusnya membenarkan SAC menentukan siapa yang akan diundang untuk mesyuarat berkaitan," katanya.

Beliau berkata usaha kemanusiaan untuk rakyat Myanmar harus merangkumi pertubuhan antarabangsa seperti Pejabat PBB untuk Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan PBB (OCHA) dengan bantuan negara anggota ASEAN.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 Mei 2022 @ 2:52 PM