Orang ramai berjalan di hadapan Dewan Bandaraya Yangon. - FOTO AFP
Orang ramai berjalan di hadapan Dewan Bandaraya Yangon. - FOTO AFP
AFP

Bangkok: Utusan khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berkata, pilihan raya di Myanmar dijangka "menimbulkan keganasan yang lebih besar".

Myanmar bergolak sejak tentera menggulingkan kerajaan awam Aung San Suu Kyi hampir dua tahun lalu, dengan dakwaan penipuan besar-besaran semasa pilihan raya yang dimenangi partinya pada 2020.

Darurat yang dikenakan junta akan tamat pada penghujung Januari, di mana menurut perlembagaan, pihak berkuasa mesti melancarkan rancangan untuk mengadakan pilihan raya baharu.

Mana-mana pilihan raya yang dikendalikan oleh tentera "akan menyemarakkan keganasan yang lebih besar, memanjangkan konflik serta menjadikan usaha ke arah demokrasi dan kestabilan lebih sukar", kata utusan khas PBB Noeleen Heyzer dalam satu kenyataan.

Dia menyeru masyarakat antarabangsa untuk "mewujudkan kedudukan bersatu lebih kukuh" pada pilihan raya yang dirancang.

Junta memberi tempoh dua bulan kepada parti politik sedia ada dan calon untuk mendaftar semula di bawah undang-undang pilihan raya baharu yang ketat bulan ini, petanda terbaru ia merancang pemilihan baharu tahun ini.

Pemerhati berkata pengundian yang dirancang tidak boleh bebas dan adil dalam keadaan sekarang.

Majlis Keselamatan PBB meluluskan resolusi pertamanya mengenai situasi di Myanmar bulan lalu, menggesa junta membebaskan Suu Kyi dan semua "tahanan yang ditahan sewenang-wenangnya".

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 31 January 2023 @ 6:38 PM