DEMONSTRASI antikudeta di Yangon. FOTO AFP
DEMONSTRASI antikudeta di Yangon. FOTO AFP
Agensi

Washington: Duta Myanmar ke PBB yang menolak untuk melepaskan jawatannya walaupun dipecat selepas kudeta Februari lalu meminta langkah kolektif yang efektif terhadap junta, menjelang perbincangan Majlis Keselamatan mengenai isu itu.

Menulis kepada badan dunia itu, Kyaw Moe Tun berkata, masyarakat antarabangsa perlu mengambil langkah kolektif yang berkesan untuk mencegah kemungkinan berlakunya jenayah terhadap kemanusiaan dan munculnya krisis kemanusiaan serantau, lapor AFP.

"Langkah tegas dan bersatu sangat diperlukan segera. Kurangnya tindakan sedemikian oleh masyarakat antarabangsa akan mendorong tentera untuk terus melakukan tindakan yang tidak berperikemanusiaan dan kejam terhadap orang awam dan akan mengakibatkan kehilangan nyawa orang awam yang tidak bersalah di Myanmar," katanya.

Dia dengan tegas menolak kudeta 1 Februari lalu dan menolak dakwaan junta bahawa dia tidak lagi mewakili Myanmar.

PBB masih menganggapnya sebagai utusan yang sah.

Moe Tun berkata, kurangnya reaksi antarabangsa yang kuat selepas rampasan kuasa yang menggulingkan Aung San Suu Kyi, membantu memudahkan tindakan keras terhadap penunjuk perasaan antikudeta.

"Sekiranya masyarakat antarabangsa, termasuk PBB, mengambil tindakan tegas dan tepat terhadap tentera, ia akan mengelak kehilangan lebih dari 800 nyawa yang tidak bersalah," katanya.

China berulang kali berusaha untuk menangguhkan perbincangan Majlis Keselamatan di Myanmar, tetapi pertemuan tertutup dijadualkan pada hari Jumaat bagi membincangkan usaha damai negara Asean, kata diplomat pada Isnin.

Sidang dijangka mendengar pembentangan Timbalan Menteri Luar Brunei Erywan Pehin Yusof, yang juga salah seorang daripada dua utusan Asean untuk bertemu dengan pemimpin junta, Min Aung Hlaing awal bulan ini.

Mereka tidak dapat bertemu dengan anggota pemerintahan yang terdiri daripada bekas anggota parlimen, kebanyakannya dari Parti Liga Nasional untuk Demokrasi pimpinan Suu Kyi.

Asean sudah merintis usaha diplomatik untuk menyelesaikan krisis di Myanmar, tetapi blok rantau ini tidak terkenal dengan pengaruh diplomatiknya dan pemerhati mempersoalkan apakah ia berkesan dan dapat mempengaruhi peristiwa di negara itu.

Brunei adalah pengerusi Asean untuk 2021.

Mesyuarat Majlis Keselamatan terakhir di Myanmar berlangsung pada 30 April dan dalam keputusan sebulat suara, 15 anggota dewan meminta keganasan di Myanmar segera dihentikan seperti yang dinyatakan dalam rancangan Asean.

Antaranya, ia juga menuntut penetapan utusan Asean yang ditugaskan untuk menangani krisis, namun setakat ini, belum ada yang dinamakan untuk menggalas tanggungjawab itu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 Jun 2021 @ 10:38 AM