Zuhainy Zulkiffli


Georgetown: Dua anggota trafik yang terbabit mengiringi orang awam dalam video tular di Jalan Bukit Gambir di sini, Sabtu lalu, dilucutkan sementara daripada menjalankan tugasan.

Kedua-dua anggota terbabit juga kini ditempatkan di bahagian pentadbiran sementara menunggu siasatan terperinci yang dilakukan siap untuk tindakan selanjutnya.

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, merujuk kepada prosedur operasi standard (SOP) Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan trafik Nombor 11 (Prosedur atur gerak dan membuka laluan trafik), proses kelulusan permohonan secara rasmi kepada jabatan perlu dilakukan dalam masa tujuh hari waktu bekerja kecuali kecemasan.

Katanya, pegawai yang bertanggung jawab perlu menilai permohonan itu bagi membuat keputusan sebelum rekod kelulusan permohonan dicatat dalam buku daftar dan buku perharian.

"Selepas siasatan dalaman dibuat, didapati tiada arahan rasmi atau tidak rasmi dikeluarkan pucuk pimpinan PDRM di peringkat Kontinjen Pulau Pinang bagi tugasan mengiringi individu berkenaan pada hari itu.

"PDRM memandang serius kesalahan melaksanakan tugas tanpa arahan rasmi sama ada daripada pegawai kanan atau penyelia tugasan," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang, di sini, hari ini.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain memberi kenyataan media mengenai kes vidoe viral polis trafik mengiringi orang awam pada sidang media di Ibu Pejabat Kontinjen Polis Pulau Pinang. FOTO MIKAIL ONG
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain memberi kenyataan media mengenai kes vidoe viral polis trafik mengiringi orang awam pada sidang media di Ibu Pejabat Kontinjen Polis Pulau Pinang. FOTO MIKAIL ONG

Sehubungan itu Mohd Shuhaily berkata, pihaknya sentiasa konsisten bahawa pihaknya tidak akan berkompromi dengan mana-mana pegawai terbabit salah laku bertentangan dengan SOP yang ditetapkan.

Mengulas lanjut Mohd Shuhaily berkata, individu berusia 20-an yang terbabit dalam video berkenaan juga sudah dihubungi bagi memberi keterangan.

"Kita minta individu berkenaan tampil memberi keterangan lanjut kerana jelas ia boleh disiasat mengikut Seksyen 233 Akta KMM (Akta Komunikasi dan Multimedia 1998) atau ada elemen bagi menjatuhkan maruah PDRM atau sebaliknya.

"Individu itu sudah dihubungi dan dia akan beri kerjasama yang sebaiknya," katanya lagi.

Terdahulu, tular sejak Sabtu lalu, mengenai dua anggota trafik yang mengiringi orang awam di Jalan Bukit Gambir, di sini.

Rakaman video berdurasi 20 saat yang dimuatnaik pemilik akaun anwarazeez itu memaparkan seorang lelaki memandu kenderaan dengan diiringi dua anggota trafik yang menaiki motosikal polis.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Mei 2022 @ 3:51 PM