Balqis Jazimah Zahari


Ipoh: Sebanyak 1,160 kemalangan jalan raya termasuk 15 kemalangan maut dilaporkan di negeri ini sepanjang Op Selamat 18 sempena Aidilfitri bermula sejak 29 April hingga semalam.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Perak Superintendan Azizan Hassan berkata, jumlah kemalangan maut itu meningkat berbanding sepuluh yang direkodkan pada Op Selamat sebelum ini dengan kematian tertinggi membabitkan penunggang motosikal.

Katanya, antara lokasi yang sering berlaku kemalangan adalah di jalan bandaran (344) diikuti jalan Persekutuan (299), lebuh raya (243) dan jalan negeri (166) dan lain-lain jalan (108).

"Berdasarkan statistik sepanjang tujuh hari Op Selamat 18 dijalankan, penunggang motosikal masih menjadi penyumbang utama kemalangan maut.

"Daripada 15 kematian yang direkodkan, sembilan daripadanya adalah membabitkan penunggang dan pembonceng motosikal. Ini adalah satu angka yang membimbangkan kita semua," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas meninjau Operasi bersepadu 6 Kesalahan Utama Bersama Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) di Jalan Maxwell di sini hari ini.

Azizan berkata, sebanyak 9,975 saman dikeluarkan sehingga semalam dengan kesalahan tertinggi adalah pandu laju, iaitu 2,972 saman.

"Ia diikuti kesalahan lain seperti parkir, insuran, abai peraturan lalu lintas dan tiada lesen memandu.

"Daerah yang paling banyak yang dikeluarkan saman adalah di Ipoh diikuti Taiping," katanya.

Sementara itu, sebanyak 66 saman dikeluarkan dalam operasi bermula jam 4 hingga 6 petang, hari ini.

"Kesalahan tertinggi yang dikesan seperti tidak patuh lampu isyarat (35), tiada lesen memandu (9), gagal tunjuk lesen (6), lesen tamat tempoh (1) dan tidak memakai tali pinggang keledar (6)," katanya.

Katanya, pihaknya sentiasa menempatkan anggota dan pegawai trafik di kawasan hitam bagi mengawal kemalangan daripada terus meningkat.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 Mei 2022 @ 11:00 PM
AZIZAN memeriksa kenderaan ketika meninjau Op Selamat di Jalan Maxwell, Ipoh. FOTO Balqis Jazimah Zahari.
AZIZAN memeriksa kenderaan ketika meninjau Op Selamat di Jalan Maxwell, Ipoh. FOTO Balqis Jazimah Zahari.