GAMBAR hiasah. Nyamuk Aedes.
GAMBAR hiasah. Nyamuk Aedes.
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Sebanyak 12,942 kes denggi dilaporkan bagi tempoh Januari lalu sehingga kini berbanding 9,270 kes bagi tempoh sama tahun lalu dengan peningkatan sebanyak 3,672 kes atau 39.6 peratus.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, 1,021 kes denggi dilaporkan pada Minggu Epid 17/2022 yang menyaksikan peningkatan 54 kes atau 5.6 peratus dari jumlah kes dilaporkan pada minggu sebelumnya iaitu 967 kes.

"Jumlah kumulatif kematian denggi sehingga Minggu Epid 17/2022 adalah tujuh kematian iaitu peningkatan dua kematian atau 40 peratus berbanding lima kematian bagi tempoh sama tahun lalu.

"Untuk makluman, denggi adalah jangkitan virus disebar melalui gigitan nyamuk Aedes yang dijangkiti.

"Ia menyebabkan gejala seperti demam, ruam merah di kulit, sakit kepala, sakit pada bahagian belakang mata, sakit sendi, sakit otot, pendarahan di bawah kulit, hidung dan gusi," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dr Noor Hisham menasihatkan masyarakat supaya memastikan kediaman bebas dari tempat pembiakan nyamuk dengan pembersihan atau pelupusan bekas yang boleh menakung air.

"Pastikan saliran atap sentiasa mengalir, tangki air dan bekas tadahan air sentiasa ditutup atau ditaburkan racun atau bahan pembunuh jentik-jentik serta menggunakan bahan repelan untuk mencegah gigitan nyamuk Aedes apabila berada di luar rumah.

"Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) juga ingin menasihatkan pengamal perubatan supaya pesakit yang mengalami demam berterusan perlu melakukan kiraan darah penuh pada hari ketiga.

"Sekiranya pesakit disyaki menghidapi demam denggi berdasarkan ciri klinikal dan ujian darah, pesakit perlu diberikan 'dengue alert card' dan melakukan 'dengue combo test,'" katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 Mei 2022 @ 5:40 PM