GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Ruwaida Md Zain


Shah Alam: Sejumlah 9,357 kes demam denggi dilaporkan sehingga 7 Mei lalu dengan peningkatan sebanyak 70 peratus atau 3,854 kes berbanding minggu epid (ME) sama tahun lalu.

Pengarah Kesihatan Selangor Datuk Dr Sha'ari Ngadiman berkata, lima daerah utama mencatatkan kes demam denggi tertinggi iaitu Petaling membabitkan 3,481 kes atau 37.2 peratus, Klang 3,197 kes (23.5 peratus), Hulu Langat 2,008 kes (21.5 peratus), Gombak 937 (10.0 peratus) dan Sepang pula 228 kes (2.4 peratus).

"Jumlah lokaliti wabak denggi aktif adalah 240 dengan perincian lokaliti hotspot 42, wabak tak terkawal 24, wabak terkawal dan wabak baru pula 174.

"Bilangan lokaliti berdasarkan daerah membabitkan 25 di Petaling, lapan di Klang, enam di Hulu Langat dan masing-masing satu di Sepang, Kuala Selangor serta Kuala Langat.

"Satu kematian akibat denggi didaftarkan sehingga kini, tidak berubah berbanding minggu yang sama pada tahun sebelumnya," katanya pada kenyataan di Facebook rasmi JKNS.

Bagaimanapun, kata beliau, pada ME 18 iaitu 1 Mei sehingga 7 Mei lalu, 470 kes denggi dilaporkan di Selangor.

Ia menurun 28.4 peratus berbanding 656 kes pada minggu sebelumnya.

Sehubungan itu, beliau berkata, JKNS menyarankan agar komuniti di kawasan kediaman dapat melaksanakan aktiviti pembersihan tempat pembiakan nyamuk aedes kendiri secara berkala di dalam dan luar persekitaran tempat tinggal dengan meluangkan 10 minit seminggu.

"Komuniti disarankan memastikan semua takungan air yang tidak digunakan di persekitaran masing-masing dimusnahkan dan meletakkan ubat pembunuh jentik-jentik di tempat takungan air yang tidak dapat dimusnahkan.

"Bagi takungan air kekal yang disimpan untuk kegunaan, hendaklah sentiasa ditutup rapat atau diletak ubat pembunuh jentik-jentik serta diperiksa seminggu sekali.

"Sentiasa pakai alat pelindung diri dan pakaian yang menutupi lengan dan kaki untuk mengelakkan gigitan nyamuk," katanya.

Maklumat tambahan berkaitan kawalan dan pencegahan denggi boleh diperoleh di https://www.infosihat.gov.my/index.php/demam-denggi.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 Mei 2022 @ 11:49 AM