Peningkatan laporan kes demam denggi berlaku secara mendadak di seluruh negara, terutama Lembah Klang. Senario ini sungguh merisaukan, terutama peningkatan kes kematian membabitkan demam denggi.

Komplikasi demam denggi yang boleh berlaku dalam masa terdekat dan secara tiba-tiba biasanya berlaku kepada pesakit yang mengalami denggi berdarah dan juga sindrom renjatan denggi.

Demam denggi tidak menjangkiti antara manusia ke manusia lain. Virus denggi dibawa oleh nyamuk aedes dan menjangkiti manusia melalui gigitan nyamuk yang membawa virus itu. Selepas memasuki badan manusia, virus ini akan membiak dan menyerang sel darah putih, platlet dan sel tisu badan manusia.

Virus ini boleh berada di dalam badan manusia sehingga dua minggu sebelum pesakit mula mempunyai simptom demam denggi. Namun, biasanya hanya empat hingga tujuh hari selepas dijangkiti, simptom seperti sakit kepala, demam panas, sakit sendi, sakit badan, hilang selera makan, sakit belakang mata dirasai oleh pesakit.

Demam panas lazimnya hanya berlaku pada tiga hari pertama. Suhu badan akan mencecah lebih 38.5 darjah Celsius, terutama pada waktu petang dan malam. Walaupun ubat sudah diberi, demam panas tetap berlaku selang empat hingga enam jam. Selepas hari keempat, biasanya demam mula kebah.

Yang lebih merisaukan jika ia dituruti dengan muntah dan cirit-birit. Ruam mula keluar kebiasaannya selepas tiga hari demam.

Pesakit juga boleh mengalami pendarahan daripada gusi, muntah berdarah, najis berdarah dan batuk berdarah. Ini berlaku apabila platlet darah menjadi semakin rendah dari sehari ke sehari. Masa kritikal untuk pesakit ialah bermula dari hari keempat hingga ketujuh demam.

Pada tempoh masa ini, cecair badan keluar dari salur darah dan tidak mengalir dalam salur darah seperti biasa. Ini menyebabkan cecair dalam salur darah menjadi pekat, seterusnya berlaku dehidrasi.

Jika ini berterusan, tekanan darah pesakit akan menjadi rendah, nadi menjadi semakin laju dan akhirnya kematian boleh berlaku. Keadaan ini dipanggil denggi berdarah dan meningkatkan kemungkinan pesakit boleh mengalami sindrom renjatan denggi.

Malangnya, bagi jangkitan denggi ini, tidak ada rawatan khas untuk membunuh virus itu atau melewatkan proses penyembuhan. Selain itu, jangkitan ini tidak ada vaksin yang dapat menghalang pesakit daripada mendapat jangkitan.

Rawatan utama di dalam wad ialah memastikan pesakit tidak mengalami dehidrasi dengan memantau tanda vital dan nilai platlet darah pesakit.

Pelbagai langkah diambil kerajaan untuk membendung wabak denggi, namun semuanya bergantung kepada kita untuk memastikan ia dapat dikawal.

Bermula dengan penggunaan ubat jentik-jentik, penyemburan ubat nyamuk dan paling utama ialah memastikan kebersihan sekeliling tempat tinggal. Air yang bertakung adalah tempat pembiakan nyamuk aedes. Ia perlu dibersihkan, terutama di kawasan pembinaan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 Mac 2015 @ 5:00 AM