SEBAHAGIAN penunggang basikal melakukan kayuhan berbukit di Bukit Antarabangsa, semalam. FOTO Bernama
SEBAHAGIAN penunggang basikal melakukan kayuhan berbukit di Bukit Antarabangsa, semalam. FOTO Bernama
BERNAMA

Kuala Lumpur: Sebahagian besar kemalangan maut di jalan raya membabitkan penunggang basikal di negara ini bagi tempoh awal Januari hingga Oktober lepas bukan kerana aktiviti riadah, kata Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaaan Trafik (JSPT) Bukit Aman Datuk Azisman Alias.

Beliau berkata, berdasarkan statistik, daripada 56 kematian dicatatkan dalam tempoh itu cuma empat kes membabitkan aktiviti riadah.

"Kebanyakan kes kematian membabitkan mangsa kemalangan yang menggunakan basikal sebagai kenderaan terutama di pekan-pekan dan kampung-kampung kecil.

Kemalangan membabitkan penunggang basikal boleh dielakkan dengan mematuhi undang-undang jalan raya terutamanya menunggang dalam satu barisan atau sederet, tidak berlumba dan tidak menukar haluan sesuka hati," katanya kepada Bernama.

Beliau berkata, sebahagian besar kes kemalangan maut itu berlaku di jalan negeri iaitu 30 kes diikuti jalan bandaran (11 kes), lebuh raya (tiga kes), jalan persekutuan (dua kes) dan jalan-jalan lain (10 kes).

"Kes kemalangan maut di kawasan bandar adalah sebanyak 25 kes, kawasan kampung sebanyak 22 kes, kawasan industri sebanyak empat kes, kawasan perumahan sebanyak satu kes dan lain-lain kawasan sebanyak empat kes," katanya.

Beliau juga berkata, daripada jumlah kemalangan maut membabitkan penunggang basikal yang dicatatkan itu juga, kes yang berlaku pada siang ialah 31 kes, malam (18 kes) dan awal pagi (tujuh kes).

Media sebelum ini melaporkan, Polis Diraja Malaysia (PDRM) merekodkan 56 kematian daripada 137 kes kemalangan membabitkan penunggang basikal di negara ini bagi tempoh awal Januari hingga Oktober lepas.

Turut dilaporkan sebanyak 18 kes melibatkan kecederaan dan 63 kes melibatkan kecederaan ringan direkodkan sepanjang tempoh itu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 Disember 2020 @ 6:01 PM