MANGSA di bawa menggunakan bot Kilat 3 milik APMM Kudat. FOTO ihsan APMM
MANGSA di bawa menggunakan bot Kilat 3 milik APMM Kudat. FOTO ihsan APMM
Junaidi Ladjana

Kudat: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Kudat melaksanakan misi kemanusiaan dengan memberi bantuan memindahkan seorang kru kapal LNG Puteri Mutiara 1 yang mengalami pendarahan pada hidung di perairan Kudat, di sini, petang semalam.

Pengarah APMM Kudat Leftenen Komander Boon Chin Chau berkata, Pusat Penyelaras Mencari dan Menyelamat Maritim (MRSC) menerima panggilan daripada kakitangan syarikat perkapalan yang berpejabat di Kuala Lumpur memaklumkan seorang kru kapal cedera dan memerlukan rawatan lanjut.

"Panggilan diterima pada 2.45 petang ketika kapal itu berada kira-kira 60 batu nautika dari Barat Laut pekan Kudat.

"Mereka memaklumkan seorang kru kapal LNG Puteri Mutiara 1 yang dalam perjalanan dari Bintulu ke Yang San, Korea Selatan mengalami kecederaan pada hidung berpunca daripada besi yang melantun ketika sedang melakukan kerja-kerja penyelenggaraan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, sebuah bot Kilat 3 kemudian dikerah ke lokasi kejadian iaitu lima batu nautika Utara Pulau Kalampunian di perairan Kudat untuk memindahkan mangsa daripada kapal berkenaan sebelum di bawa ke Hospital Kudat untuk rawatan.

"Mangsa tiba di pangkalan APMM Kudat jam 7.15 malam seterusnya di hantar ke hospital menggunakan ambulans.

"Mangsa Mohd Azwan Mohd Shafiai, 32, yang berasal dari Perak adalah kelasi kapal berkenaan dan kini dilaporkan stabil," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 Mei 2016 @ 12:15 PM