Baharom Bakar


Kuala Berang: Sebanyak 3,000 biji telur ayam gred C 'laku keras' dalam tempoh 30 minit pada Program Jualan Keluarga Malaysia (PJKM) di Kampung Kuala Ping, di sini, hari ini.

Malah, ayam segar sebanyak satu metrik tan yang dijual pada harga RM6.20 sen satu kilogram (kg) juga licin dalam tempoh satu jam, manakala 150 kg daging yang dijual pada harga RM25 sekilogram turut menjadi rebutan pengunjung.

Harga ayam segar ditetapkan pada RM8.20 sekilogram, tetapi diberi subsidi oleh Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Pengguna, Datuk Rosol Wahid sebanyak RM2.00.

Sementara daging diberi subsidi sebanyak RM6 sekilogram.

Tinjauan mendapati lebih 1,000 pengunjung menyerbu ke tapak jualan seawal jam 7.30 pagi dengan gerai menjual telur, ayam segar dan daging antara yang menjadi tumpuan.

Rosol yang juga Ahli Parlimen Hulu Terengganu berkata, penjualan telur dihadkan hanya 30 biji kepada setiap pengunjung manakala ayam segar hanya dua ekor dan satu kg daging.

"Jualan telur, ayam segar dan daging dihadkan bagi memberi keadilan kepada pengunjung lain," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 Februari 2022 @ 2:00 PM