GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Muhammad Zulsyamini Sufian Suri

Ipoh: Seorang maut manakala tiga lagi parah apabila motosikal masing-masing terbabit nahas dengan sebuah kereta di KM217.7 Lebuhraya Persisiran Pantai Barat (WCE), berhampiran Pejabat WCE Wilayah Utara, Sitiawan, Manjung, tengah malam tadi.

Dalam kejadian jam 12.06 tengah malam tadi, pemandu kereta Proton Wira yang terbabit nahas itu bagaimanapun tidak mengalami kecederaan.

Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Yusri Hassan Basri, berkata kejadian berlaku dipercayai semasa sekumpulan empat motosikal dalam perjalanan dari arah Tol Sitiawan menghala Tol Changkat Cermin.

Katanya, ketika itu salah sebuah motosikal hilang kawalan lalu merempuh belakang Proton Wira terbabit sebelum ia terbabas di atas jalan raya.

"Keadaan itu menyebabkan dua lagi motosikal yang berada di belakangnya gagal mengelak lalu melanggar motosikal yang terbabas tadi sebelum sebuah lagi motosikal dari arah sama juga tidak sempat mengelak lalu melanggar mereka.

"Akibat kemalangan ini tiga penunggang motosikal cedera parah dan seorang penunggang meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan pada dada.

"Ketiga-tiga penunggang yang parah dibawa ke Hospital Seri Manjung untuk menerima rawatan manakala mayat mangsa maut dihantar ke Unit Forensik hospital yang sama untuk dibedah siasat," katanya menerusi kenyataan hari ini.

Beliau berkata, hasil siasatan mendapati kejadian berpunca daripada mangsa yang maut hilang kawalan sewaktu merempuh belakang tiga motosikal yang sedia jatuh terbabas di atas jalan.

Katanya lagi, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian untuk tampil membantu siasatan dengan menghubungi pegawai penyiasat kes di talian 016-5572540.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 September 2022 @ 8:04 PM