Keadaan rumah mangsa yang terbakar awal pagi hari ini. FOTO  Effendy Rashid
Keadaan rumah mangsa yang terbakar awal pagi hari ini. FOTO Effendy Rashid
Farah Suhaidah Othman


DUA beradik melecur manakala enam ahli keluarga lain sesak nafas selepas rumah mereka di Jalan Labrooy, Taman Merdeka di Ipoh, terbakar, hari ini .

Dalam kejadian 2 pagi itu, kanak-kanak perempuan berusia sembilan dan lima tahun itu melecur pada bahagian pipi dan dirawat Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB).

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ipoh P Samasuvam berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 2.11 pagi sebelum sepasukan 13 anggota bersama tiga pegawai bergegas ke lokasi kejadian.

Katanya, setiba di lokasi, anggota mendapati api marak di ruang tamu dan terdapat mangsa sekeluarga yang terperangkap di dalamnya.

"Kanak-kanak berusia sembilan tahun diselamatkan anggota bomba melalui pintu hadapan manakala mangsa lain terdiri daripada empat dewasa berusia 38 hingga 65 tahun dan tiga kanak-kanak lingkungan usia dua hingga 12 tahun keluar melalui pintu belakang dengan bantuan jiran yang memecahkan pintu.

"Operasi diteruskan sehingga pemadaman api berjaya dikawal sepenuhnya," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Beliau berkata, semua mangsa yang cedera dan sesak nafas dihantar ke HRPB untuk rawatan lanjut.

Menurutnya, operasi turut mendapat bantuan BBP Meru dan diketuai Zulkifli Mohd tamat pada 3.16 pagi.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 Mei 2017 @ 12:57 PM