ANGGOTA bomba membawa seorang daripada empat mangsa jambatan runtuh yang cedera. FOTO ihsan Bomba
ANGGOTA bomba membawa seorang daripada empat mangsa jambatan runtuh yang cedera. FOTO ihsan Bomba
Mohd Roji Kawi


Miri: Empat lelaki termasuk dua warga asing cedera selepas jambatan di pusat peranginan di Mulu, runtuh, hari ini.

Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak Tiong Ling Hii berkata, kejadian 2.50 petang itu berlaku ketika semua mangsa sedang melakukan pemeriksaan tapak di kawasan jambatan berkenaan.

Beliau berkata, mangsa termasuk pengurus besar pusat peranginan itu yang juga warga Belgium serta pengurus pusat peranginan warga Jerman.

Ling Hii berkata, dua lagi mangsa tidak dikenal pasti identiti ialah warga tempatan.

"Operasi menyelamat diaktifkan dengan menggerakkan empat anggota Pasukan Mencari dan Menyelamat di Gunung dan Gua (MOCSAR) JBPM pada 3 petang sebaik menerima laporan daripada kakitangan.

"Apabila tiba di lokasi kejadian didapati empat orang mangsa terbabit dengan insiden itu dengan tiga daripada mereka dihantar ke Lapangan Terbang Mulu oleh kakitangan pusat peranginan itu manakala seorang lagi iaitu warga Jerman dipindahkan menggunakan pengusung oleh anggota MOCSAR bomba kerana beliau mengalami kecederaan di bahagian pinggang dan kaki sebelah kanan," katanya.

Menurutnya lagi, anggota MOCSAR bomba memindahkan warga Jerman itu menggunakan perahu seterusnya menaiki kenderaan pacuan roda untuk dihantar ke Lapangan Terbang Mulu sebelum diterbangkan ke Miri menaiki helikopter milik syarikat Samling bersama tiga lagi mangsa bagi menerima rawatan lanjut.

"Punca kejadian itu masih dalam siasatan lanjut," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 April 2022 @ 8:21 PM