ANGGOTA bomba melaksanakan program sanitasi awam di Penjara Pusat Miri. FOTO Ihsan JBPM Sarawak
ANGGOTA bomba melaksanakan program sanitasi awam di Penjara Pusat Miri. FOTO Ihsan JBPM Sarawak
Mohd Roji Kawi

JABATAN Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak melaksanakan sanitasi di dua penjara di negeri ini.

Penolong Pengarah Operasi JBPM Sarawak, Tiong Ling Hii berkata, hari ini pihaknya melaksanakan program itu di Penjara Pusat Miri.

Beliau berkata, seramai 12 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Miri Sentral bersama 20 anggota Jabatan Penjara Malaysia dan dua kakitangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) terbabit dalam program berkenaan.

“Operasi nyah cemar dilaksanakan di seluruh kawasan penjara,” katanya.

Ling Hii berkata, minggu lalu pihaknya sudah melaksanakan program sama di Penjara Sri Aman.

Kini empat lagi penjara belum melaksanakan program itu iaitu Penjara Puncak Borneo, Penjara Sibu, Penjara Bintulu dan Penjara Limbang.

Sementara itu beliau berkata, program sanitasi awam bagi memutuskan rantaian Covid-19 terus dilaksanakan di tempat tumpuan ramai di seluruh negeri.

Antara yang dinyah cemar hari ini, Pusat Mel Pending, Surau Darul Fadzillah, Kampung Gita Laut; P’Residence 5A, Blok 5A, Batu Kawa; Terminal Bas Kuching Sentral; Kuching Buddhist Society, di Laksamana Cheng Ho dan All Saint’s Parish Tabuan, Kuching.

Sementara itu, di Sri Aman pula operasi dilaksanakan di Bangunan Wisma Persekutuan, di Limbang, operasi nyah cemar dilaksanakan di bangunan Pejabat Jabatan Imigresen manakala di Miri ia dilaksanakan di gereja Methodist Tudan, Miri Senadin Methodist Preaching Centre.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 April 2020 @ 6:41 PM