BEH menunjukkan antara mercun yang dilupuskan. FOTO Mohamad Ashyiq Haqimi.
BEH menunjukkan antara mercun yang dilupuskan. FOTO Mohamad Ashyiq Haqimi.
Nurul Hidayah Bahaudin dan Mohamad Ashyiq Haqimi


Kuala Lumpur: Sebanyak 1,059 kotak dan 35 guni mengandungi mercun serta bunga api bernilai RM4.1 juta yang diseludup masuk ke dalam negara untuk pasaran pada Aidilfitri dilupuskan, hari ini.

Ketua Polis Daerah Sentul Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, rampasan itu dibuat Cawangan Perisikan Siasatan Khas Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman dan Unit D9 Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman hasil serbuan di dua lokasi di Kepong, di sini, pada 24 Mac lalu.

"Dalam serbuan itu, kami menahan lima lelaki tempatan termasuk seorang dalang sindiket berkenaan berusia 51 tahun.

"Dalang terbabit sudah dituduh di mahkamah mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1987 pada 29 Mac lalu.

"Selepas tempoh rayuan 14 hari dari tarikh jatuh hukum, permohonan pelupusan dipohon pada 18 April lalu dan diluluskan oleh Mahkamah Kuala Lumpur," katanya pada sidang media di stor barang kes Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul, di sini, hari ini.

Beh berkata, pihaknya mendapati kegiatan penyeludupan mercun itu dilakukan sebelum musim perayaan.

"Mercun dan bunga api itu kemudian disimpan di premis perniagaan bagi mengaburi pihak berkuasa sebelum dijual untuk pasaran tempatan.

"Bagi membanteras kegiatan ini, kami akan melakukan pemantauan berkala terutama dalam tempoh berbaki beberapa hari lagi menyambut Aidilfitri," katanya.

Beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak terbabit dengan kegiatan menyeludup dan mengedar mercun serta bunga api.

"Orang ramai dinasihatkan supaya mematuhi undang-undang dan tindakan akan diambil terhadap mereka yang melakukan kesalahan.

"Sebarang maklumat berkaitan penjualan mercun dan bunga api haram boleh disalurkan kepada pihak polis dengan menghubungi Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-21460584/0585 atau Bilik Gerakan IPD Sentul di talian 03-40482206," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 April 2022 @ 4:40 PM