ANGGOTA polis dilontar mercun kawasan Pangsapuri Sri Perak, Bandar Baru Sentul, Kuala Lumpur. FOTO Ihsan Pembaca
ANGGOTA polis dilontar mercun kawasan Pangsapuri Sri Perak, Bandar Baru Sentul, Kuala Lumpur. FOTO Ihsan Pembaca
Nurul Hidayah Bahaudin
nurul.hidayah@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: Sepasukan anggota polis dilontar mercun ketika menyuraikan kira-kira 200 individu yang berkumpul di kawasan Pangsapuri Sri Perak, Bandar Baru Sentul, di sini, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Sentul Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, pihaknya menerima maklumat berkaitan aktiviti membakar mercun secara terbuka di lokasi berkenaan pada 12.50 tengah malam.

"Sebaik tiba, kami mendapati kira-kira 200 individu dipercayai penduduk pangsapuri berkenaan berkumpul di kawasan tempat letak kereta dan sedang bermain mercun.

"Keadaan menjadi sangat tegang dengan letupan mercun yang tidak terkawal apabila kehadiran polis disedari oleh penduduk pangsapuri terbabit," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Eng Lai berkata, anggota polis yang bertugas memberikan amaran kepada orang awam untuk menghentikan perbuatan bermain mercun, namun tidak diendahkan.

"Semasa pihak polis sedang menyuraikan orang ramai yang berkumpul, tiba-tiba satu letupan kuat berlaku dan hampir mengenai pihak polis yang sedang bertugas di lokasi kejadian.

"Letupan terbabit dipercayai daripada mercun yang sengaja dilontar kepada pihak polis. Selepas letupan itu berlaku, orang ramai kemudian segera beredar dari kawasan berkenaan," katanya.

Beliau berkata, tiada sebarang kecederaan dilaporkan selepas kejadian itu berlaku dan keadaan di lokasi kejadian berjaya dikawal pihak polis.

"Kes itu disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan serta Seksyen 3(5) Akta Kesalahan Kecil kerana menakutkan secara jenayah dan larangan membakar bunga api yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

"Orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa mematuhi undang-undang. Tindakan tegas berlandaskan undang-undang akan diambil terhadap individu yang melanggar peraturan.

"Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian itu boleh menghubungi Bilik Gerakan IPD Sentul di 03-40482206," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Mei 2021 @ 5:17 PM