Wan Hassan menunjukkan mercun yang dirampas. FOTO Ravale Savarinathan
Wan Hassan menunjukkan mercun yang dirampas. FOTO Ravale Savarinathan
Ravale Savarinathan


Teluk Intan: Polis menahan seorang lelaki kerana memiliki pelbagai jenis mercun dan bunga api di sebuah kedai di Taman Legenda, Hutan Melintang, jam 6 petang semalam.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak Asisten Komisioner Wan Hassan Wan Ahmad berkata, serbuan dilakukan dengan kerjasama Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) di lokasi disyaki dijadikan stor menyimpan mercun dan bunga api.

"Seorang lelaki berusia 28 tahun disyaki penjaga stor ditahan. Nilai rampasan dianggarkan RM30,000 namun jika dijual kepada pelanggan nilainya boleh mencapai sehingga RM150,000.

"Mercun dan bunga api yang dirampas dipercayai untuk pasaran sempena Tahun Baru Cina akan datang," katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 January 2017 @ 8:30 PM