PPM Wilayah Dua Johor merampas pelbagai jenis mercun. FOTO Ihsan PPM Wilayah Dua
PPM Wilayah Dua Johor merampas pelbagai jenis mercun. FOTO Ihsan PPM Wilayah Dua
Essa Abu Yamin

Batu Pahat: Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Dua Johor merampas pelbagai mercun bernilai RM83,000 menerusi serbuan di sebuah premis di kawasan Batu Pahat di sini, kelmarin.

Komander PPM Wilayah Dua Asisten Komisioner Muhd Zailani Abdullah berkata, serbuan melalui Op Kontraban dilaksanakan pada jam 6.30 petang itu membabitkan sepasukan pegawai dan anggota dari PPM Wilayah Dua.

Katanya, seorang lelaki berusia 49 tahun disyaki menyimpan mercun itu ditahan dalam operasi berkenaan selepas menerima maklumat orang awam berhubung penyimpanan mercun terbabit.

"Mercun itu dipercayai bagi pasaran tempatan sempena sambutan perayaan Aidilfitri nanti.

"Pemeriksaan ke atas premis menemukan sejumlah 63 kotak berisi pelbagai jenis mercun dan bunga api dianggarkan bernilai RM 83,000.00," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, kes disiasat di bawah Akta Bahan Letupan 1957 yang jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara hingga tujuh tahun atau denda hingga RM10,000 atau kedua-dua sekali.

"PPM sentiasa menjalankan operasi bagi mengekang sebarang aktiviti jenayah dan pelanggaran undang-undang rentas sempadan.

"Orang ramai diseru untuk sama-sama menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa bagi membanteras sebarang bentuk jenayah terutamanya membabitkan keselamatan dan ketenteraman awam masyarakat maritim," katanya.

Katanya, sebarang maklumat boleh disalurkan kepada Pasukan Polis Marin Wilayah Dua melalui talian 07-2372221 atau 07-2372222.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 April 2022 @ 12:00 PM