GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Asrol Awang


Pekan: Mekanik ditahan bersama pelbagai mercun bernilai RM8,000 di tepi jalan Kampung Beruas, di sini malam tadi.

Ketua Polis Daerah Pekan, Superintendan Mohd Zaidi Mat Zin berkata, lelaki berusia 32 tahun itu ditahan ketika kenderaan pacuan empat roda yang dipandunya cuba berpatah balik bagi mengelak pemeriksaan polis di sekitar kawasan Kampung Permatang Arang, di sini.

"Polis bertindak mengejar kenderaan itu sebelum berjaya menahan mekanik terbabit kira-kira 10 malam, 800 meter dari lokasi kejadian.

"Hasil pemeriksaan ke atas Ford Ranger dipandunya, kami menemui pelbagai jenis mercun dan bunga api di bahagian tempat duduk belakang," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Zaidi berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 April 2022 @ 2:14 PM