PEMBONCENG patah kaki selepas motosikal dinaikinya terbabit dalam kemalangan. FOTO ihsan bomba Kuala Lumpur
PEMBONCENG patah kaki selepas motosikal dinaikinya terbabit dalam kemalangan. FOTO ihsan bomba Kuala Lumpur
Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Pembonceng patah kaki selepas motosikal dinaikinya terbabit dalam kemalangan dengan sebuah kereta sebelum terjatuh dari jejantas Lebuhraya Duta Ulu Kelang (DUKE) dari Setapak ke Jalan Tuanku Abdul Halim, di sini, semalam.

Komander Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur, Zulkefli Abd Malik berkata, Pusat Gerakan Operasi JBPM Kuala Lumpur menerima panggilan kecemasan pada jam 6.29 petang.

Menurutnya, pasukan operasi jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Setapak bersama sebuah jentera Light Fire Rescue Tender (LFRT) dan sebuah jentera Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dengan kekuatan lapan anggota dikejarkan ke lokasi kejadian.

"Setibanya jentera di lokasi kejadian, didapati berlaku kemalangan membabitkan dua kenderaan iaitu Perodua Bezza dipercayai melanggar motosikal Honda Wave.

"Akibatnya pembonceng motosikal terjatuh dari jejantas sementara penunggang cedera ringan manakala pemandu kereta tidak mengalami kecederaan," katanya dalam satu kenyataan.

Zulkefli berkata, mangsa dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan operasi tamat pada jam 7.19 malam.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 November 2020 @ 11:51 AM