NASRUDIN Hassan
NASRUDIN Hassan
Samadi Ahmad


Putrajaya: Yayasan Dakwah Malaysia (YADIM) kesal atas penyebaran sebuah video muzik sempena Aidilfitri nyanyian seorang usahawan kosmetik terkenal baru-baru ini.

Yang Di Pertuanya, Nasrudin Hassan berkata, video itu secara jelas mempromosi budaya golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).

Menurutnya, ia bukan sahaja menganggu sensitiviti rakyat di negara ini malah mencemarkan kesucian bulan Ramadan yang memasuki fasa 10 malam terakhir.

"Tumpuan umat Islam sepatutnya diberikan untuk memburu LailatulQadar dan dalam tempoh ini seakan cuba diganggu dengan penyebaran video muzik sampah seperti ini.

"Usahawan yang terkenal dalam mengeluarkan kandungan medianya yang menyinggung sensitiviti rakyat sebelum ini dilihat melampaui batas norma murni masyarakat di Malaysia.

"Video ini mengangkat budaya LGBT yang bukan sahaja dipandang jijik oleh ajaran Islam, bahkan menyongsang arus budaya sebenar masyarakat pelbagai agama dan bangsa di negara ini," katanya melalui kenyataan hari ini.

Oleh itu, pihaknya menyeru pihak berkuasa terutamanya Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) untuk mengambil tindakan tegas terhadap penyebaran video muzik itu.

Nasrudin berkata, video sedemikian tidak wajar dihidangkan sebagai halwa hiburan terutama kepada anak-anak dan golongan muda.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 April 2022 @ 9:02 PM