RONALD Kiandee (dua,kiri) menuangkan santan ke dalam kawah berisi ketupat sebagai gimik perasmian Majlis Semarak Syawal Peringkat Kebangsaan di Medan Niaga Satok, Kuching. FOTO BERNAMA
RONALD Kiandee (dua,kiri) menuangkan santan ke dalam kawah berisi ketupat sebagai gimik perasmian Majlis Semarak Syawal Peringkat Kebangsaan di Medan Niaga Satok, Kuching. FOTO BERNAMA
BERNAMA

Kuching: Pindaan kepada Akta Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) 1965 akan dibawa ke sesi Parlimen pada Julai depan bagi membolehkan Fama mengurus pemasaran komoditi ternakan tertentu.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan (Mafi) Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, melalui pindaan akta itu, Fama akan memainkan peranan dalam pengedaran komoditi ternakan serta menstabilkan rantaian bekalan.

"Pada masa ini, tiada agensi khusus yang berfungsi dalam menjalankan aktiviti pemasaran ternakan," katanya pada sidang media selepas merasmikan program Semarak Syawal peringkat kebangsaan di Medan Niaga Satok, di sini, hari ini.

Beliau berkata, dengan pindaan itu Fama juga akan berperanan dalam memastikan bekalan makanan serta rantaian bekalan di pasaran tidak terganggu.

Fama adalah agensi di bawah Mafi yang diberi kuasa di bawah Akta Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan 1965 (Akta 141) bagi menyelia, menyelaras, mengawal selia dan memajukan pemasaran keluaran pertanian Malaysia kecuali bagi produk nanas, getah, kelapa sawit, padi, beras, tembakau dan koko.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 April 2022 @ 2:10 PM