Che Abdullah Mat Nawi
Che Abdullah Mat Nawi
Mohd Amin Jalil


Seremban: Pembukaan dan pelaksanaan Pasar Tani Terkawal (PST) di lokasi terpilih seluruh negara dapat mengatasi masalah lambakan atau lebihan pengeluaran bekalan makanan ketika Sekatan Pergerakan Penuh (SPP).

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II (MAFI), Datuk Che Abdullah Mat Nawi berkata, pihaknya sentiasa mengambil langkah perlu dalam memastikan kelancaran rantaian bekalan makanan.

Katanya, terdapat sebanyak 42 PST beroperasi setakat ini yang diselia Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) dengan empat daripadanya berada di Negeri Sembilan.

"MAFI mengambil pelbagai pendekatan khususnya untuk memastikan kelancaran dan kelangsungan rantaian bekalan makanan termasuk mengurus isu lambakan melalui pelaksanaan PST yang dibuka di lokasi terpilih.

"Setiap PST terdapat lapan komoditi teras iaitu sayuran, buah-buahan, ikan, ayam, daging, produk Industri Kecil dan Sederhana (IKS), barangan runcit serta makanan.

"PST beroperasi mengikut prosedur Operasi Standard (SOP) ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan ia akan terus beroperasi sepanjang pelaksanaan sekatan pergerakan penuh ini," katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan selepas melakukan tinjauan di dua lokasi PST iaitu di Pusat Operasi Fama Jalan Labu Seremban dan Agrobazaar Sendayan, di sini, hari ini.

Che Abdullah berkata, PST dapat menawarkan barangan keperluan kepada pengguna khususnya penduduk setempat ketika tempoh penutupan penuh sektor ekonomi dan sosial.

Katanya, MAFI dengan kerjasama semua pihak bertanggungjawab akan terus memastikan keadaan sentiasa terkawal dan bekalan makanan berada dalam keadaan mencukupi.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 Jun 2021 @ 5:36 PM