Mohd Amin Jalil

Seremban: Sebanyak 83 tan daging lembu dan kerbau disediakan tahun ini bagi menampung keperluan penduduk Negeri Sembilan menyambut Aidilfitri.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pertanian dan Industri Makanan negeri, Datuk Bakri Sawir berkata, kerajaan negeri yakin jumlah bekalan itu mencukupi dan turut dijamin penternak yang bekerjasama sebagai pembekal.

"Seramai sembilan penternak komersial bersetuju bekerjasama menjayakan usaha ini dan buat permulaan kita menawarkan pembelian menerusi Mantai Perdana Online (MPO) yang memperuntukkan tiga tan daging.

"Menerusi program ini, orang ramai berpeluang membeli daging pada harga rendah iaitu pengurangan sebanyak RM3 bagi satu kilogram (kg) dengan setiap individu hanya dibenarkan membeli maksimum 3kg," katanya.

BAKRI Sawir (tengah), Mohamad Taufek (kanan) dan Asmizal pada sidang media di tapak Pasar Tani Paroi Jaya. FOTO Mohd Amin Jalil
BAKRI Sawir (tengah), Mohamad Taufek (kanan) dan Asmizal pada sidang media di tapak Pasar Tani Paroi Jaya. FOTO Mohd Amin Jalil

Beliau ditemui selepas mengadakan promosi MPO dan meninjau jualan daging dan produk asas tani di Pasar Tani Taman Paroi Jaya, di sini, hari ini yang turut dihadiri Ahli Dewan Undangan Negeri Paroi Datuk Mohamad Taufek Abd Ghani dan Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama negeri, Asmizal Jaafar.

Bakri berkata, setakat ini lebih satu tan daging sudah terjual menerusi program MPO dan tawaran masih terbuka.

Katanya, kerajaan negeri memperuntukkan RM250,000 untuk subsidi daging itu dan menjangkakan 27,777 keluarga bakal menerima manfaat.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan Jualan Semarak Aidilfitri dengan kerjasama Fama negeri akan dilancarkan bermula 27 April ini, yang memberi kemudahan kepada penduduk di setiap daerah membeli barang keperluan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 April 2022 @ 12:37 PM