BAKRI (kiri) meninjau gerai jualan MyRakyat. FOTO Abnor Hamizam Abd Manap
BAKRI (kiri) meninjau gerai jualan MyRakyat. FOTO Abnor Hamizam Abd Manap
Abnor Hamizam Abd Manap


Jelebu: Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA ) melancarkan program MyRakyat di Perkarangan Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Klawang, hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Makanan Negeri Sembilan, Datuk Bakri Sawir berkata, MyRakyat itu adalah lokasi ketujuh diwujudkan FAMA di negeri ini, tahun ini.

Lokasi lain termasuk Tapak Pasar Tani Tampin, Medan Gerai Buah-Buahan Segar (GBBS) Port Dickson dan Flat Uda Ampangan di Seremban; Dewan Orang Ramai Chengkau, Rembau; serta Pasar Tani Kekal Jempol dan Desa Permai Juasseh, Kuala Pilah.

Bakri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Klawang berkata, menerusi MyRakyat pengguna memperoleh barang keperluan dan produk segar secara terus daripada pengeluar tanpa melalui orang tengah.

Katanya, 287 usahawan bimbangan FAMA terbabit dalam program MyRakyat dengan pelbagai jualan seperti ayam, daging, ikan, sayur, telur, produk makanan dan barangan kering.

"My Rakyat di Medan GBBS Port Dickson paling kerap diadakan setakat ini iaitu sebanyak tujuh kali membabitkan penyertaan 137 usahawan.

"Bagi enam lokasi My Rakyat sebanyak RM124,163.59 hasil jualan diraih usahawan sehingga 31 Oktober lalu," katanya selepas melancarkan Program My Rakyat @ Perkarangan Pusat Khidmat DUN Klawang di sini, hari ini.

Hadir sama Pengawai Daerah Jelebu, Abdul RahimA Aziz dan Timbalan Pengarah (Pembangunan dan Khidmat Pengurusan) FAMA Negeri Sembilan, Adriana Aziz.

Program di Perkarangan Pusat Khidmat DUN Klawang itu disertai 16 usahawan dengan hasil jualan berjumlah RM20,419.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 November 2021 @ 1:51 PM