Nur Izzati Mohamad


Butterworth: Membiarkan lauk pauk yang ingin dijual kepada pelanggan dalam keadaan terdedah tanpa pengawasan hingga dihurungi lalat.

Itu antara kesalahan yang dikesan Cawangan Penguatkuasaan Inspektor Kesihatan Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) terhadap peniaga di sebuah bazar Ramadan di Sungai Dua, di sini ketika mengadakan serbuan mengejut kira-kira jam 5 petang tadi.

Dalam operasi yang turut disertai Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Seberang Perai Utara dan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) itu turut mengesan kesalahan lain antaranya telur ayam digunakan tidak dicuci dengan betul hingga masih mempunyai tahi dan penggunaan tuala kotor yang mengundang kepada pencemaran bakteria.

Selain itu, segelintir peniaga juga didapati kurang menitikberatkan soal pemakaian perlindungan diri (PPE), tidak mengambil suntikan anti tifoid dan ada yang masih tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP).

Inspektor Kesihatan merangkap Ketua Unit Cawangan Penguatkuasaan JKNPP, Mohd Wazir Khalid, berkata berikutan kesalahan yang dilakukan sebanyak 25 notis kompaun yang keseluruhannya bernilai RM12,000 dikeluarkan dalam operasi yang berlangsung hampir dua jam itu.

"Serbuan ini diadakan susulan kenyataan Menteri Kesihatan yang ingin memastikan tiada kes pencemaran makanan berlaku di bazar Ramadan seluruh negara.

"Di Pulau Pinang, setakat ini tiada kes keracunan makanan dilaporkan namun kita mengambil inisiatif melakukan pemeriksaan di 95 tapak perniagaan di sebuah bazar yang hasilnya kita mendapati masih ada peniaga melakukan kesalahan antaranya dalam aspek pemakaian PPE seperti tidak memakai apron dan topi serta tidak mengambil suntikan tifoid," katanya di sini, hari ini.

MAKANAN dibiarkan terdedah lebih 30 minit. FOTO DANIAL SAAD
MAKANAN dibiarkan terdedah lebih 30 minit. FOTO DANIAL SAAD

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 April 2022 @ 10:24 PM