GUNI yang mengandungi mercun bola dirampas anggota polis di Kampung Perah, Slow Machang, di sini. FOTO Ihsan Polis
GUNI yang mengandungi mercun bola dirampas anggota polis di Kampung Perah, Slow Machang, di sini. FOTO Ihsan Polis
Syaherah Mustafa


Pasir Mas: Sebuah kereta dipenuhi muatan mercun bola bernilai RM3,000 hilang kawalan dan terbabas di bahu jalan ketika cuba melarikan diri daripada ditahan anggota polis di Kampung Perah, Slow Machang, di sini, jam 8.15 pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Mohd Nasaruddin M Nasir, berkata ketika kejadian anggota membuat rondaan sebelum terserempak sebuah kereta Toyota Camry dalam keadaan mencurigakan.

Katanya, anggota mendekati kereta itu dan meminta pemandu seorang lelaki memberhentikan kenderaan namun suspek berkenaan bertindak memecut laju untuk melarikan diri.

"Anggota cuba mengejar tetapi kereta terbabit dilihat terbabas di tepi jalan manakala pemandu melarikan diri di kawasan semak berdekatan. Usaha mencari suspek dilakukan tetapi tidak berjaya.

"Hasil pemeriksaan di dalam kereta terdapat enam guni mengandungi sejumlah mercun bola diletakkan di bahagian tempat duduk penumpang yang disyaki seludup dari Thailand untuk pasaran tempatan.

"Kereta serta mercun bola dirampas dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas untuk tujuan laporan dan kes disiasat dibawah Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957," katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Mohd Nasaruddin berkata, golongan penyeludup sanggup melakukan kegiatan yang menyalahi undang-undang dengan membawa stok mercun secara haram susulan permintaan yang tinggi menjelang Hari Raya Aidilfitri.

"Tanpa mereka sedar, selain melanggar undang-undang, mereka turut membahayakan keselamatan diri dengan membawa sejumlah besar mercun di dalam kereta yang boleh menyebabkan berlaku letupan.

"Pelbagai modus operandi digunakan bagi memastikan mercun dibawa sampai ke destinasi yang ditetapkan termasuk menyimpan dahulu stok di lokasi transit di sepanjang Sungai Golok sebelum dibawa ke daerah lain," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 April 2022 @ 4:42 PM