GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Syaherah Mustafa


Pasir Mas: Polis kesal dengan penyebaran berita palsu menyalahkan anggota pasukan itu susulan penemuan mayat lelaki dalam tali air Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (Kada), semalam.

Terdahulu, mayat mangsa berusia 20-an ditemui terapung dalam tali air di Kampung Kerasak, Bunut Susu, di sini, pada 9.10 pagi.

Ketua Polis Daerah Pasir Mas Asisten Komisioner Mohd Nasaruddin M Nasir berkata, pihaknya kecewa apabila orang ramai menuduh anggota polis sebagai penyebab kematian lelaki terbabit.

Menurutnya, ibu mangsa sebelum itu membuat laporan polis pada 31 Mac lalu, memaklumkan anaknya tidak pulang seharian ke rumah dan kali terakhir ditemui pada 4 petang sehari sebelum itu.

"Berdasarkan semakan, anggota Balai Polis Pasir Mas ada membuat rondaan cegah jenayah di tali air berkenaan dan terserempak dua lelaki menaiki motosikal dalam keadaan mencurigakan pada 30 Mac lalu.

"Anggota mengarahkan mereka memberhentikan motosikal, namun suspek bertindak melarikan diri ke semak dan meninggalkan motosikal serta beg silang di situ.

"Hanya barangan berkenaan dirampas dan dibawa ke balai polis untuk tindakan lanjut," katanya dalam sidang media, hari ini.

Mohd Nasaruddin berkata, susulan penemuan mayat lelaki itu, pihak polis mendapati motosikal yang dirampas adalah milik abang kepada mangsa.

Katanya, keadaan terbabit sekali gus menunjukkan mayat berkenaan dipercayai salah seorang daripada lelaki yang melarikan diri sebelum itu.

"Saya tegaskan, ketika kejadian suspek (mangsa) dilihat lari ke semak bukan dikejar anggota polis sebagai mana yang dihebohkan segelintir individu tidak bertanggungjawab.

"Justeru, tindakan undang-undang boleh diambil mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 terhadap mana-mana pihak yang sengaja menyebarkan berita tidak sahih dan mengelirukan.

"Pihak polis mencuba yang terbaik dalam memberikan perkhidmatan kepada masyarakat dan berharap orang ramai tidak membuat tuduhan palsu kepada kami," katanya.

Katanya, pihaknya kini mengesan rakan mangsa yang turut sama melarikan diri untuk diambil keterangan bagi membantu siasatan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 April 2021 @ 6:48 PM