KERETA Toyota Camry serta mercu dan bunga api bernilai RM20,000 dirampas anggota polis  di sini, jam 9 pagi tadi. FOTO ihsan Polis
KERETA Toyota Camry serta mercu dan bunga api bernilai RM20,000 dirampas anggota polis di sini, jam 9 pagi tadi. FOTO ihsan Polis
Syaherah Mustafa


Pasir Mas: Seorang penyeludup nekad melarikan diri dengan meninggalkan kereta yang membawa pelbagai jenis mercun dan bunga api bernilai RM20,000 di Kampung Chicha Tinggi, di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Mohd Nasaruddin M Nasir berkata, anggota yang meronda di sepanjang Jalan Rantau Panjang-Pasir Mas, terserempak kereta Toyota Camry dalam keadaan mencurigakan pada jam 9 pagi.

Katanya, anggota cuba menahan kereta berkenaan namun pemandu bertindak memecut laju sejauh lebih 10 kilometer (km) dan berhenti secara mengejut di tepi jalan serta melarikan diri ke dalam semak berdekatan.

"Cubaan mencari dan mengesan suspek dilakukan di kawasan sekitar namun gagal.

"Hasil pemeriksaan di dalam kereta berkenaan menemui 200 kotak bunga api serta 216 kotak mercun pelbagai jenis yang diletakkan di bahagian tempat duduk penumpang serta but kereta," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Katanya, antara yang ditemui adalah Happy Boom Red Firecrckers, Gettering Thander K dan Rich Flower.

Menurutnya, anggota menunggu selama 30 minit di lokasi kejadian namun tiada individu yang datang menuntut kesemua barangan terbabit sebelum kereta serta bunga api dan mercun dirampas untuk dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas bagi tindakan lanjut.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan dan Kakisan 1957," katanya.

Mohd Nasaruddin berkata, kesemua bunga api dan mercun berkenaan dipercayai dibawa masuk secara haram oleh penyeludup dari negara jiran, Thailand untuk pasaran tempatan.

"Permintaan bunga api dan mercun adalah tinggi dalam kalangan pembeli dan peniaga sepanjang Ramadan dan menjelang Aidilfitri.

"Penyeludup dilihat semakin 'berani' membolos sempadan negara secara haram untuk membawa masuk barangan ini, namun pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan terus mengetatkan kawalan agar tiada yang terlepas.

"Dalam masa sama, masyarakat perlu sedar akan bahaya bermain mercun yang boleh membawa kepada kecederaan serius, justeru ibu bapa khususnya perlu peka dengan aktiviti anak-anak mereka," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 April 2022 @ 3:49 PM