GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Oleh Zatul Iffah Zolkiply


Marang: Penganggur didenda RM1,000 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini kerana gagal memberi keterangan berhubung pemilikan 16 tabung derma pelbagai pusat tahfiz, madrasah dan pusat kebajikan yang ditemui di dalam keretanya.

Tertuduh, Harris Azlan Abdul Hadi, 24, turut berdepan hukuman penjara enam bulan sekiranya gagal menjelaskan denda berkenaan.

Keputusan itu dibuat Majistret Engku Nurul Ain Engku Muda selepas tertuduh mengaku salah terhadap pertuduhan berkenaan.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa gagal memberikan keterangan yang memuaskan tentang pemilikan 16 tabung derma yang berada di dalam bonet belakang Perodua Viva ketika polis menjalankan pemeriksaan.

Kesalahan itu dilakukan tertuduh di hadapan sebuah rumah di daerah ini, jam 11.30 malam pada 16 April lalu.

Tertuduh yang didakwa mengikut Seksyen 29 (1) Akta Kesalahan Kecil 1955 berdepan hukuman denda sehingga RM1,000 atau penjara tidak lebih satu tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Bagaimanapun, tertuduh dibebaskan sebaik menjelaskan denda.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Asisten Superintendan Othman Ibrahim manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Media sebelum ini melaporkan, polis menahan seorang lelaki yang dipercayai menyamar sebagai ejen yang dilantik mengutip tabung derma sebelum melarikan wang sumbangan berkenaan.

Ketika soal siasat, suspek mengaku menyamar sebagai ejen dengan menukar tabung-tabung derma yang diletakkan di kedai makan dan kedai runcit sebelum mengambil wang yang didermakan.

tamat

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 April 2022 @ 4:13 PM