GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Individu berusia 60 tahun dan ke atas yang mempunyai komorbiditi berisiko tinggi dinasihatkan untuk mengambil dos penggalak keempat kerana mereka berisiko mendapat kesan Covid-19 yang lebih teruk berbanding golongan muda.

Pensyarah Perubatan dan Pakar Klinikal Penyakit Berjangkit, Hospital Canselor Tuanku Muhriz UKM (HCTM), Dr Najma Kori berkata, hal ini kerana sistem imun golongan ini masih kurang mencukupi berbanding orang muda yang menerima vaksin.

Menurutnya, walaupun sudah menerima dos penggalak ketiga, tahap imuniti yang terhasil itu tidak sebanyak orang muda dan warga emas masih berisiko mendapat jangkitan yang teruk.

"Statistik di negara ini menunjukkan kadar kematian Covid-19 masih tinggi dalam kalangan golongan warga emas berusia 65 tahun ke atas.

"Apabila golongan ini mengambil dos penggalak keempat maka akan lagi tinggi tahap imunisasi badannya dan lagi kurang kadar infektiviti selain hanya akan bergejala ringan jika dijangkiti Covid-19," katanya kepada Harian Metro.

Dr Najma berkata, risiko mengambil dos penggalak itu sama seperti risiko ketika mengambil vaksin pertama dan kedua malah kesan sampingan juga lebih rendah kerana badan pernah terdedah kepada kesan vaksin sebelum ini.

"Lagipun sudah terbukti, vaksin memang selamat kerana disebabkan vaksin, Malaysia boleh berpindah ke fasa endemik.

"Bagi saya ramai warga emas yang tidak mahu mengambil dos penggalak ini kerana kurang pemahaman," katanya.

Beliau berkata, kebanyakan warga emas mendengar nasihat daripada anak-anak yang mana jika anak mereka kurang pemahaman akan menyebabkan ramai tidak mengizinkan ibu bapa mengambil vaksin.

"Jadi saya cadangkan semua sekali perlu diberi pemahaman sama ada yang tua atau muda dengan memberi pemahaman secara berterusan, program kesedaran dan sebagainya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 April 2022 @ 4:31 PM