Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi


Bagan Serai: Kerajaan tidak berhasrat menangguhkan pemberian suntikan dos penggalak (booster) kepada rakyat seperti yang dicadangkan Mufti Perlis, baru-baru ini.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali berkata, kerajaan melalui Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan menerus dan mempergiatkan lagi program vaksinasi ini untuk menyelamatkan nyawa rakyat.

"Sebenarnya pengambilan booster ini sangat penting untuk melindungi diri dari kesan penyakit Covid-19 terutama ketika penularan varian omicron di seluruh dunia termasuk Malaysia.

"Ia sangat penting untuk meningkatkan daya tahan badan dan memanjangkan imuniti terhadap penyakit Covid-19.

"Justeru, cadangan Mufti Perlis itu bagi saya tidak wajar," katanya dalam sidang media selepas hadir pada program Jualan Keluarga Malaysia Peringkat Negeri Perak, Parlimen Bagan Serai, di Tapak Pasar Tani, Pusat Bandar, di sini, hari ini.

Noor Azmi berkata, sehingga semalam sebanyak 10.4 juta atau 44 peratus rakyat Malaysia sudah mengambil suntikan dos penggalak dan jumlahnya dijangka mencapai 60 peratus sehingga akhir Januari ini.

Ditanya mengenai pelbagai berita dan video mengenai kesan vaksin sehingga ada yang lumpuh, meninggal dan sebagainya Noor Azmi menegaskan sehingga kini belum ada kes kematian direkodkan disebabkan vaksin.

"Berita yang diviralkan orang sakit, meninggal selepas ambil vaksin memang benar namun punca kematiannya setelah dibedah siasat bukanlah disebabkan vaksin sebaliknya penyakit lain yang dialami.

"Zaman sekarang orang bebas menghantar berita dan video jadi kita menjawab perkara ini berdasarkan bedah siasat dan maklumat sahih.

"KKM menyerahkan sepenuhnya siasatan video atau berita tidak sahih kepada pihak polis dan dalam masa sama kita akan terus memperhebatkan lagi program vaksinasi ini supaya rakyat dapat data yang benar, sahih dan mengikut sains," katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata, usaha kerajaan menggalakkan orang ramai mengambil suntikan penggalak ketika ini, bukanlah tiket atau syarat untuk merentas negeri pada Aidilfitri nanti.

Pada 19 Januari lalu, Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin dilaporkan memberi cadangan supaya KKM wajar menangguhkan pemberian dos penggalak atau dos ketiga vaksin Covid-19 kerana dibimbangi mempunyai kesan yang serius terhadap kesihatan.

Beliau dipetik berkata, penangguhan berkenaan perlu mengambil kira satu kenyataan yang jelas terhadap siapa atau golongan mana yang sebenarnya tidak wajar mengambil dos berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 January 2022 @ 1:23 PM