GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Mahaizura Abd Malik


Kuala Lumpur: Kajian inokulasi yang sedang dilaksanakan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) perlu untuk menentukan sejauh mana tempoh hayat vaksin mampu bertahan dalam badan penerima vaksin.

Pakar Virologi Universiti Malaya (UM) Prof Dr Sazaly Abu Bakar berkata, hasil kajian itu juga akan menentukan bagi melihat keperluan mengambil dos penggalak bagi mereka yang sudah lengkap dua dos suntikan vaksin Covid-19.

"Memang kajian itu perlu dilakukan kerana kita hendak tahu tahap rangsangan imuniti individu yang menerima vaksin itu masih kekal atau tidak terutama mereka yang berusia biasanya keupayaan untuk merangsang imuniti itu kurang.

"Tetapi apa yang penting apabila seseorang itu mengambil vaksin dia sebenarnya bukan hanya untuk membangunkan antibodi tetapi juga memori atau peringatan imuniti.

"Jadi biasanya selepas kita berjaya ambil vaksin, dalam badan kita ini sudah ada sel imun yang mempunyai memori," katanya kepada Harian Metro.

Katanya, kajian itu akan mengenal pasti kebolehupayaan mencerna atau menjelmakan sel memori berkenaan bagi melindungi tubuh badan penerima vaksin Covid-19 daripada jangkitan.

"Apabila kita terdedah kepada jangkitan, sel memori ini akan merangsang tindak balas imun dalam badan untuk melindungi kita.

"Untuk mengetahuinya, sampel darah penerima vaksin diambil dan dibuat kajian di makmal untuk melihat rangsangannya," katanya.

Beliau berkata, Malaysia juga memerlukan data kajian sendiri berbanding merujuk kajian luar negara.

"Walaupun ada kajian luar kata sesetengah vaksin akan turun keberkesanannya selepas beberapa bulan disuntik, itu tidak bermakna kita perlukan dos penggalak.

"Itu data daripada luar negara kerana genetik kita berbeza tidak sama dengan penduduk mereka. Kita perlu kajian sendiri mengikut acuan dan genetik penduduk kita.

"Saya cadangkan kajian inokulasi ini diserahkan kepada pakar penyelidik di universiti manakala KKM boleh memberikan tumpuan sepenuhnya kepada usaha mengurangkan kadar kematian dan jangkitan Covid-19 dalam negara kita yang dilihat masih lagi tinggi," katanya.

Semalam, Timbalan Menteri Kesihatan 1, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali dilaporkan berkata, KKM masih di peringkat awal kajian inokulasi bagi menentukan garis masa tahap antibodi individu yang sudah mengambil vaksin namun berdasarkan daripada ujian serologi ke atas semua penyakit berjangkit, dos penggalak diperlukan selepas beberapa tahun apabila imuniti menurun.

Katanya, buat masa ini dos penggalak ditawarkan kepada semua rakyat Malaysia selepas keutamaan diberikan kepada petugas barisan hadapan dan golongan berisiko tinggi termasuk warga emas.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 Oktober 2021 @ 3:28 PM