Anggota bomba ketika menjalankan operasi mencari mangsa kejadian bot karam di Pulau Tandoan, Semporna, Sabah. FOTO Ihsan JBPM negeri Sabah
Anggota bomba ketika menjalankan operasi mencari mangsa kejadian bot karam di Pulau Tandoan, Semporna, Sabah. FOTO Ihsan JBPM negeri Sabah
BERNAMA

Semporna: Dua mangsa terakhir yang hilang dalam kejadian bot karam, kelmarin ditemukan terapung berhampiran lokasi kejadian di perairan Kampung Tandoan, Pulau Timbun Mata, pagi ini.

Ini menjadikan keseluruhan tujuh daripada 21 penumpang bot itu maut dalam kejadian terbabit.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Maritim Semporna Komander Maritim Norrimi Hassan berkata, mangsa Noranis Harimalam, 14, dan Aiman, 7, ditemukan penduduk kampung pada 7.50 pagi.

"Kedua-dua mangsa ditemukan serentak oleh penduduk kampung," katanya ketika dihubungi, di sini.

Katanya, kedua-dua mayat dihantar ke Hospital Semporna untuk tindakan lanjut.

Semalam, Ketua Polis Daerah Semporna Superintendan Mohd Farhan Lee Abdullah dilaporkan berkata, lima individu maut, manakala dua hilang dan 14 individu lagi selamat selepas bot dinaiki mereka karam di perairan Kampung Tandoan, Pulau Timbun Mata dekat sini.

Juragan bot itu berusia 64 tahun ditahan semalam bagi membantu siasatan kejadian itu, di bawah Seksyen 304A Kanun Keseksaan iaitu kerana menyebabkan kematian dengan cuai.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 April 2022 @ 12:24 PM